Pecah amanah: Lima pekerja syarikat sawit ditahan reman

MIRI: Lima pekerja syarikat pengumpulan buah kelapa sawit termasuk dua wanita yang ditangkap kerana disyaki melakukan pecah amanah jenayah masing-masing diperintahkan Mahkamah Majistret di sini petang supaya direman antara satu hingga tiga hari.

Kelima-lima suspek berusia antara 23 hingga 34 tahun diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat, semua suspek ditangkap pada 19 September lalu berikutan satu laporan polis dibuat oleh pengurus syarikat tempat mereka bekerja mendakwa berlaku penyelewangan ke atas wang hasil jualan buah kelapa sawit di sebuah pusat pengumpulan buah kelapa sawit (RAMP).

Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada Julai tahun ini beliau membuat semakan terhadap resit dalam sistem syarikat dan mendapati baucar pembayaran di RAMP Rumah Ali, Sungai Sebukut, Bakong diubah tanpa pengetahuan syarikat.

Hasil pemeriksaan mendapati kerani timbang yang bertanggungjawab menguruskan perkara itu dipercayai mengubah jumlah berat sawit dalam sistem syarikat kemudian mengeluarkan resit kepada penjual dan seterusnya diserahkan kepada juruwang untuk mendapatkan pembayaran.

Menurut pengadu, terdapat juga resit dikeluarkan tanpa menerima buah daripada pelanggan dan bayaran dibuat berdasarkan resit dikeluarkan.

Setelah semakan dibuat, pengadu mendapati hasil jualan di RAMP Rumah Ali sepatutnya berjumlah RM252,702.20 tetapi jumlah dinyatakan dalam sistem syarikat hanya RM55,482.35.

Sehubungan itu, pegawai penyiasat memohon agar semua suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Majistret Lovely Natasha Charles hanya membenarkan reman sehari ke atas dua suspek wanita dan tiga hari untuk tiga suspek lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/21/pecah-amanah-lima-pekerja-syarikat-sawit-ditahan-reman/