LAWAS: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lawas memerlukan kos sebanyak RM400,000 daripada sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta bagi merealisasi pembinaan bangunan baharu di daerah ini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Lawas amat memerlukan satu lagi kemudahan PDK di daerah ini bagi menempatkan dan menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi anak-anak OKU.
Beliau berkata PDK itu nanti perlu dilengkapi dengan kemudahan yang selesa dan kakitangan terlatih yang cekap dan penyayang dalam pendidikan termasuk pemulihan OKU.
“Bagi merealisasi harapan ini, orang ramai, NGO dan sektor swasta dialu-alukan menderma kepada tabung pembinaan sebagai sebahagian daripada kewajipan CSR mereka dalam menjaga anak OKU di Lawas,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 230 anak yatim dan kanak-kanak istimewa (OKU) di Stadium Tertutup Lawas semalam.
Turut hadir ialah isteri Awang Tengah yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas dan Setiausaha SABATI Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan pemimpin masyarakat di Lawas.
Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata lagi tapak bagi bangunan PDK Lawas sudah diluluskan oleh kerajaan negeri dan Majlis Daerah Lawas (LDC) telah ditugaskan untuk menjalankan projek yang pertama kali diilhamkan oleh isteri dan setiausaha beliau SABATI Datuk Dayang Morliah Awang Daud pada tahun 2010.
Beliau juga mahu kakitangan terlatih cekap dan penyayang dalam pendidikan dan pemulihan OKU.
“Kakitangan mesti mempunyai keprihatinan dan kesabaran kerana mereka berurusan dengan kanak-kanak istimewa,” katanya.
Beliau juga mahu ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menjadi kuat dan sabar dalam memastikan kualiti hidup yang lebih baik dan masa depan anak-anak OKU mereka.
“Setiap kanak-kanak OKU istimewa dengan cara sendiri dan ibu bapa tidak boleh tawar hati tetapi terus mendekati mereka,” katanya.
Mengenai cadangan PERYATIM mahu membina Rumah Anak Yatim di Lawas, beliau berkata kerja-kerja pembinaan dijalankan di kawasan tersebut.
Projek itu telah dilulus bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan ia akan menampung keperluan anak yatim di Limbang dan Lawas.
“Pada masa ini terdapat anak-anak yatim dihantar ke Miri dan Kuching, dengan adanya PERYATIM di sini, ia dapat menangani keperluan untuk menempatkan anak-anak yatim Islam dan anak yatim bukan Islam,” katanya.
Pusat PERYATIM memberi tumpuan menyediakan tempat perlindungan dan persekitaran kondusif untuk anak yatim, menumpukan perhatian kepada pendidikan lebih baik.
Source: http://miri.my/2016/06/26/pdk-lawas-perlu-sumbangan-bagi-membina-bangunan-baharu/