PAS yakin Arifiazul mampu menang di DUN Lambir

MIRI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin bahawa calonnya, Mohammad Arifiazul Paijo yang bertanding di kerusi DUN Lambir bakal mendapat sokongan pengundi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sokongan masyarakat di konstituensi berkenaan kepada PAS semakin ramai dan berharap calon akan menjadi ADUN sulung PAS.

“Kita mempertaruh 11 kerusi pada pilihan raya kali ini dan Lambir salah satu kerusi kita sasar untuk menang berdasar sokongan kuat masyarakat di kawasan terbabit kepada kita,” katanya dalam sidang media diadakan di sini semalam.

PAS meletak calon Lambir merupakan usahawan, 32 tahun, anak tempatan yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, bagi kerusi DUN berkenaan.

Jelas Nik Mohamad Abduh, keyakinan PAS untuk menang kerana matlamat utama membantu membangun Sarawak dan bersama membantu menyelesaikan isu yang disuara rakyat.

“Walaupun PAS tidak bertanding besar sebagaimana parti lain, tetapi kita yakin dengan kesungguhan, kita ingin membawa perubahan di Sarawak.

“Jentera kita juga semakin hari semakin gagah, kita turut membawa jentera kita datang ke Sarawak dalam membantu memperkasakan jentera di sini,” katanya.

Jelas Nik Mohamad Abduh, ahli jentera parti adalah rakyat tempatan seperti masyarakat tinggal di kawasan berhampiran Kampung Subak, Tukau, Peninjau dan sebagainya.

“Diharapkan kehadiran PAS di negeri ini akan menambahkan lagi perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Arifiazul memberitahu beliau turun padang bertemu rakyat hampir keseluruhan kawasan Lambir termasuk rumah panjang dalam usaha meraih sokongan.

“Kita tidak bekerja mengikut musim, bahkan kita mula bergerak dikawasan DUN Lambir sebelum pilihan raya yang dulu lagi.

“Sejak pilihan raya lepas hingga ke hari ini, sokongan masyarakat berbilang kaum berterusan kerana mereka melihat PAS memberikan perkhidmatan baik,” katanya.

Jelasnya, parti akan memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, sesetengah masalah yang bersifat skala kecil pula akan diselesaikan di peringkat PAS sendiri seperti projek-projek kecil.

Katanya, tiga isu utama akan menjadi perhatian PAS ialah mengenai isu tanah, infrastruktur dan ekonomi rakyat.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ketujuh PAS Kawasan Miri yang sekali gus melancarkan Jentera Pilihanraya PAS Lambir.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap Ketua PAS Miri Jofrie Jaraiee.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/27/pas-yakin-arifiazul-mampu-menang-di-dun-lambir/