PAS umum 11 calon termasuk bukan Islam

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

CALON PAS:11 calon PAS yang akan bertanding di 11 kerusi DUN dalam PRN ini yang diumum dan diperkenalkan malam kelmarin, bergambar bersama Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim (tengah).

CALON PAS:11 calon PAS yang akan bertanding di 11 kerusi DUN dalam PRN ini yang diumum dan diperkenalkan malam kelmarin, bergambar bersama Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim (tengah).

BINTULU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengumumkan 11 calon akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS di sebuah hotel di sini malam kelmarin yang turut disaksi Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili, pimpinan PAS Pusat, pimpinan PAS Sarawak, ahli serta penyokong PAS.

Calon-calon yang diumumkan didahului Pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Miri Jofri Jaraie akan bertanding di N74 Pujut, Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohammad Arifiriazul Paijo (N72 Lambir), Zharudin Narudin (N70 Samalaju); Kiprawi Aman (N67 Jepak), Clement Bayang (N60 Kakus), Hamidah Mokhtar (N29 Beting Maro), Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (N27 Sebuyau), Asan Singkro (N24 Sadong Jaya), Zulkipli Ramzi (N16 Muara Tuang), Ustaz Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi (N7 Samariang) dan Zainal Abidin Yet (N4 Pantai Damai).

Bercakap pada sidang media mengenai jangkaan PAS Pusat terhadap reputasi calon boleh menang dalam PRN ini, Abdul Hadi berkata, ia soalan bersifat kemungkinan yang tidak boleh ditentukan, mungkin 11 mungkin satu atau mungkin macam-macam.

“Cuma kita kena sedar bahawa tiada mustahil dalam politik. Justeru, sebarang kemungkinan boleh berlaku, kita lebih yakin dalam kerja untuk mencapai kemenangan serta menyedari bahawa kemenangan bukan boleh dicapai dengan mudah, namun tidak mustahil,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan calon tidak menang, kata Abdul Hadi, sekurang-kurangnya kerajaan negeri ada mendengar mesej disampaikan PAS iaitu semak dan imbang.

“Sudah tentu cara kita kemukakan cadangan dan pendekatan sekurang-kurangnya sesiapa sahaja memerintah Sarawak dan memimpin mesti mengambil kira pandangan parti politik khususnya PAS yang paling berpengalaman memerintah kerajaan negeri, menyertai kerajaan pusat,” katanya.

Katanya PAS pernah menyertai kerajaan pusat pada 1970 hingga 1979, PAS juga pernah memerintah kerajaan negeri sejak 1979 di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain.

“Pernah bersendiri dan bercampur dengan pihak lain, pengalaman ini perlu diambil kira oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri khususnya dalam suasana demokrasi namun kita dapat melaksanakannya,” katanya.

Mengenai sama ada perbincangan ada dibuat dengan parti di Sarawak dan parti dari Semenanjung Malaysia yang datang ke Sarawak pada PRN ini katanya, pihaknya serahkan kebijaksanaan rakan-rakan pimpinan Sarawak yang sesuai dengan masyarakat di Sarawak dan yakin perbincangan dengan pemimpin masyarakat itu lebih diutamakan.

Sama ada berlaku pertindihan kerusi dengan parti pakatan lain katanya, itu kena tunggu semasa penamaan calon.

Berkaitan peletakan calon bukan Islam pula katanya, ini memberi mesej yang jelas bahawa PAS membuka pintu kepada yang bukan Islam.

Mengenai serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) yang bakal memberi saingan kepada PAS dalam PRN ini, katanya PAS tidak menganggap ia saingan yang sangat mencabar.

PAS dalam kenyataannya menyifatkan calon yang diletak bertanding pada PRN kali ini sebagai calon berkaliber, berdaya saing serta anak tempatan pelbagai latar belakang terdiri daripada gabungan profesional, aktivis dan pakar agama serta campuran tokoh berpengalaman dan anak muda merangkumi lima orang adalah berusia bawah 40 tahun dengan yang termuda berumur 26 tahun.

PAS turut menampilkan seorang calon wanita dan seorang calon bukan Islam berbangsa Iban yang merupakan seorang tuai rumah, petani dan seniman serta pernah bertanding di kerusi DUN Kemena .

Bekas penyanyi dan artis rakaman Iban Sarawak, Clement Bayang, 59, merupakan calon bukan Islam PAS yang pertama bakal bertanding dalam PRN ini. Clement merupakan ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak.

PAS turut menampilkan calon termuda dan satu-satunya calon wanita iaitu Hamidah Mokthar, 26, seorang pengurus butik pakaian muslimah dan setiausaham muslimah PAS Sarawak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/08/pas-umum-11-calon-termasuk-bukan-islam/