Pantau perkembangan anak, waspada pengaruh militan

MIRI: Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan keganasan dan pengaruh militan agar tidak meresap ke dalam jiwa anak-anak mereka.

Residen Miri Antonio Kahti Galis berkata ideologi pelampau Negara Islam (IS) dikhuatiri boleh mempengaruhi individu agar lebih fanatik dan melakukan keganasan.

“Terdapat banyak saluran yang boleh mempengaruhi anak-anak muda kita, apatah lagi kita tinggal dalam dunia tanpa sempadan kesan daripada pembangunan teknologi maklumat komunikasi,” katanya pada Majlis Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Islamic Information Centre (IIC) di Miri semalam.

Beliau berkata, terdapat banyak saluran digunakan pelampau untuk mendekati dan mempengaruhi mangsa khususnya mereka yang tamat sekolah.

Antaranya, mereka mungkin menawarkan pekerjaan di luar negara selain turut menawarkan gaji menarik bagi memperdayakan mangsa yang fanatik dengan idealogi IS.

Sehubungan itu, masyarakat diseru agar sentiasa memantau dan bekerjasama memberikan maklumat sekiranya meragui kegiatan individu yang terlibat dengan IS.

Sementara itu, beliau memuji inisiatif IIC dalam menganjurkan majlis sedemikian bagi memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbagai kaum.

“IIC telah menganjurkan program sebegini selama tujuh tahun sejak 2009 dan ia adalah platform terbaik bagi memperkukuhkan hubungan akrab di kalangan masyarakat berbagai kaum dan kepercayaan,” jelasnya.

Tambahnya, ia menunjukkan kerjasama erat di kalangan umat Islam dan bukan Islam dalam bersama-sama menganjurkan aktiviti yang boleh memperkukuhkan persefahaman dan toleransi antara kaum.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IIC Zabariah Matali, Penasihat Institut Wanita Datuk Uslar Goh dan Presiden Persatuan Cina Sarawak, Ting Pang Soon.

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) dan Persatuan Cina Sarawak itu hadiri lebih 100 tetamu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/20/pantau-perkembangan-anak-waspada-pengaruh-militan/