Pantai Bakam tarikan baru pelancongan

MIRI: Kawasan pesisir pantai dari Bakam sehingga ke Batu Niah akan dijadikan satu lagi tarikan baru di utara Sarawak, untuk menyokong industri pelancongan di negeri ini. Kawasan berkenaan memiliki pantai yang cantik, air terjun dan taman negara yang boleh menjadi tarikan pelancong, khususnya dari negara Brunei dan pelancong asing yang berkunjung ke situ. Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, Aidan Wing yakin kawasan itu mempunyai tarikan tersendiri yang tidak ditawarkan di tempat lain. Katanya, beliau akan mengetengahkan kawasan yang berpotensi itu untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan baru di negeri ini. "Kawasan persisiran pantai Bakam sehingga ke Batu Niah mempunyai tarikan tersendiri. Antaranya ialah air terjun Bakam, Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah dan perkampungan nelayan yang cantik. "Semua ini adalah aset penting yang boleh diteroka untuk dimajukan di utara negeri ini, katanya kepada pemberita di sini, semalam. Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan supaya pihak swasta memajukan kawasan pantai di Bakam untuk menyokong industri pelancongan di bandaraya ini. Ketika ini, sudah terdapat jalan raya yang baik menghubungkan Miri dan Batu Niah menggunakan jalan raya pesisir pantai itu.

Source