Pangkalan Unit Udara JBPM pindah ke LTAK

Oleh Rusnan Mustafa//

JASAMU DIKENANG: Wan menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan
Utusan Borneo Jeremy Lanson sambil disaksikan Nor Hisham (tengah).

JASAMU DIKENANG: Wan menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan Utusan Borneo Jeremy Lanson sambil disaksikan Nor Hisham (tengah).

KUCHING: Pangkalan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang sekarang ini berpusat di Miri akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebaik sahaja JBPM menerima dua helikopter jenis Agusta Westland AW189 hujung tahun depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata, JBPM bakal menerima dua helikopter itu pada hujung 2017 dan awal 2018 nanti yang akan ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kita akan ada dua unit helikopter jenis Agusta Westland AW189 baharu untuk Sabah yang akan ditempatkan di Unit Udara JBPM Kota Kinabalu manakala dua yang sedia ada di Sarawak dikekalkan dan pangkalan unit udara di sini akan dipindahkan ke Kuching sebaik sahaja kita menerima dua helikopter baharu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM di Hotel Imperial Kuching di sini, semalam.

Pada masa sama Wan menjelaskan, dengan penambahan dua lagi helikopter itu ia menambahkan lagi aset JBPM di Pulau Borneo ini bagi menjalankan operasi yang diperlukan di dua negeri ini.

“Kalau Sarawak memerlukan operasi besar kita panggil dua helikopter di Sabah kerana ia lebih dekat berbanding unit dari Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata JBPM juga sentiasa menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain terutama dari segi aset.

“Seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mereka sudah ada helikopter Bombadier, jadi jika kita memerlukan aset tersebut kita akan panggil APMM untuk membantu menjalankan operasi,” katanya.

Menurutnya, lebih banyak balai bomba akan dibina di negeri ini memandangkan Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia.

“Sarawak mempunyai keunikan tersendiri kerana merupakan negeri terbesar jadi kita merasakan banyak lagi kawasan memerlukan pembinaan balai bomba,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamad menjelaskan bahawa pangkalan baharu bagi Unit Udara JBPM itu akan dibina di LTAK dengan kos keseluruhan berjumlah RM12 juta.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan RM5 juta tetapi apabila kita lihat kesesuaian tapak dan kerja yang perlu dibuat, pangkalan baharu di LTAK ini dianggarkan menelan kos RM12 juta, jadi kita sedang dalam proses untuk minta tambahan peruntukan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 80 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JBPM termasuk pengamal media di Kuching menerima anugerah pingat dan sijil penghargaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/24/pangkalan-unit-udara-jbpm-pindah-ke-ltak/