MIRI: Pakatan Harapan (PH) Miri semalam mengumumkan barisan ahli kaunselor sendiri seramai tujuh orang yang dilantik khusus bagi memantau perkembangan dan menghadiri setiap mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Miri (MBM), satu langkah berani yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong berkata ‘kaunselor’ dilantik oleh PH Miri itu yang dinamakan ahli ‘Majlis Komuniti Pakatan Harapan’, akan membuat ‘semakan’ terhadap aduan-aduan yang sebelum ini banyak dikemukakan oleh rakyat namun tidak pernah dan belum diambil tindakan oleh pihak majlis, dalam usaha mereka membantu MBM menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Miri.
“Semua tujuh ‘kaunselor’ PH Miri dilantik ini kelak akan turut menghadiri mesyuarat penuh MBM yang terbuka kepada orang ramai, di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan, berurusan dengan pihak Majlis dan menyiasat aduan serta isu dibangkit orang awam.
“Secara tidak langsung ia akan memberi kesan, agar pihak MBM menjalankan perkhidmatan yang berkualiti dan mereka ini kelak akan mempunyai lebih masa untuk menyiasat aduan yang dikemuka,” jelas Alan pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.
Pada majlis sama, beliau memperkenalkan tujuh ahli ‘Majlis Komuniti Pakatan Harapan’, yang terdiri daripada empat ahli DAP iaitu Peter Hii yang juga timbalan setiausaha DAP Piasau dan seorang ahli perniagaan Sim Siew Chieng, ahli sejak 2006 dan bekerja di sebuah syarikat swasta Ling Siew Ping, ahli sejak 2011 dan bekerja sebagai pengurus kawasan untuk sebuah syarikat telekomunikasi dan Hellan Empaing, ahli parti juga aktivitis dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tiga yang lain ialah Mustapha Erol daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan menjadi setiausaha cawangan Miri, juga merupakan pembantu marin di Jabatan Laut dan berpengalaman selama 30 tahun, Jemat Panjang (PKR) yang juga bekas timbalan pengerusi PKR Miri dan calon PKR untuk N.38 Kelaka pada Pilihan Raya Negeri yang lepas serta Kho Bee Kiong, ahli PKR sejak 1999 dan kini bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas.
Menurut Alan lagi, idea tersebut sudah difikirkan oleh mereka sejak dua minggu lalu, yang mana tempoh perkhidmatan bagi ahli-ahli majlis penggal lalu tamat pada 30 Jun lepas.
Beliau berkata PH dan orang awam amnya, kecewa kerana sehingga kini masih belum ada sebarang pelantikan dibuat dan diumumkan, bagi memastikan kelancaran proses peralihan kuasa dan perkhidmatan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan pucuk pimpinan negeri masih belum tampil dengan barisan nama para kaunselor untuk semua PBT di seluruh negeri.
Menurut Alan lagi, semua ahli Majlis Komuniti PH itu pula akan menghadiri mesyuarat penuh pada setiap bulan di bawah bimbingan ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon (DAP) dan Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo (PKR).
Mengulas lanjut peranan ahli terbabit, Alan menyifatkan tugas mereka amat penting dan peranan mereka adalah membantu penduduk pada setiap hari berhubung isu kutipan sampah, alam sekitar, kebersihan, landskap, penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan raya, perparitan dan saliran, lampu trafik serta menjadi mata dan telinga bagi kegiatan maksiat, di bawah bidang kuasa PBT seperti pusat permainan siber dan juga membuat cadangan untuk meningkatkan lagi standard hidup masyarakat.
“Tujuannya juga supaya orang ramai dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengetengahkan isu-isu kepada ahli-ahli majlis yang menjaga kawasan dan kami juga mahu agar para kaunselor MBM ini kelak menyiar nombor mereka yang dapat dihubungi termasuk alamat e-mel dan nombor Whatapps untuk memudahkan mereka dihubungi.
“Pada masa yang sama, kami berharap MBM peka terhadap cadangan dan kritikan membina demi kebaikan bersama,” jelas beliau.
Hadir sama pada sidang media tersebut semalam ialah ahli jawatankuasa exco PKR Miri Jemat Panjang yang mewakili Dr Teo dan Ahli Majlis Tertinggi DAP Sarawak Dr Bob Baru.
Source: http://miri.my/2016/07/21/pakatan-harapan-lantik-tujuh-ahli-sertai-mesyuarat-penuh-mbm/