Ose Murang dilantik sebagai Pengerusi Curtin baharu ganti Hatta Solhi

MIRI: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ose Murang dilantik sebagai Pengerusi Curtin (Malaysia) Sdn Bhd baharu bagi menggantikan Datu Hatta Solhi yang memegang jawatan itu sejak 1999.

Mengulas mengenainya, Pro Naib Canselor dan Presiden Curtin Sarawak, Profesor Jim Mienczakowski menyifatkan Dr Hatta sebagai seorang cemerlang dalam menyumbang pembangunan Universiti Curtin Sarawak.

Dr Hatta turut memainkan peranan penting terhadap penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti antarabangsa itu selama 17 tahun penubuhannya di Miri.

“Banyak kejayaan dikecapi kerana anda. Dedikasi dan minat anda memberi semangat kepada kami. Kami amat berterima kasih atas sokongan dan sumbangan tiada ternilai kepada Curtin Sarawak,” kata Jim semasa jamuan malam penghargaan dan selamat datang untuk Hatta dan Ose di Miri Marriott Resort and Spa malam kelmarin.

Mengulas tentang pelantikan Ose, Jim berkata, pengalaman mendalam selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam disifat terbaik untuk Curtin Sarawak.

Kepimpinan Ose diyakini akan meneruskan legasi Dr Hatta selain menawarkan sokongan tidak berbelah bahagi membawa Curtin ke hadapan.

Jim berkata, majlis turut menghargai dedikasi dan komitmen kakitangan dalam memastikan Curtin seiring dan relevan dengan keperluan pasaran pendidikan di Malaysia serta trend sektor pendidikan semasa.

Beliau menambah, pelancaran bangunan fakulti kejuruteraan dan sains menjanjikan perubahan signifikan terhadap pembangunan Curtin.

“Ia bukan hanya meningkatkan kapasiti kita, tetapi membenarkan kita untuk mengguna pakai teknologi dan inovasi untuk terus mampu bersaing,” jelasnya sambil menambah, bangunan setinggi empat tingkat itu bernilai RM20 juta.

Naib Canselor Curtin Perth Australia, Deborah Terry berkata, Curtin bertapak di Miri di kampus sementara dengan pengambilan seramai 200 pelajar sebelum berpindah ke kampus tetap di Senadin yang kini mempunyai seramai 4000 pelajar.

Beliau memberitahu, Curtin akan membina bangunan biotech (teknologi biologi) utama bagi memperkasa imej universiti dalam pengajian penyelidikan dan inovasi sekali gus berkeupayaan melahirkan tenaga mahir keperluan industri tempatan.

Majlis turut meraikan ulangtahun hari jadi ke-80 tahun Pro Cancelor Curtin Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Hadir sama ialah Canselor Colin Beckett, Timbalan Naib Canselor Curtin antarabangsa Profesor Seth Kunin, Ketua Pegawai Kewangan Curtin David Menarry,Timbalan Pro Naib Canselor Curtin Sarawak Beena Giridharan dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Sarawak, Kingleys Francis Charles dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/14/ose-murang-dilantik-sebagai-pengerusi-curtin-baharu-ganti-hatta-solhi/