Orang Sarawak berpengalaman dalam industri minyak: Kim Shin

Miri selayaknya menjadi pusat pengeluar terbesar minyak dan gas

// Oleh Mohd Achil Norrlatep //

LATIHAN TARAF DUNIA: (Duduk, dua dari kanan) Nelson dan Lee ketika
memerhatikan demonstrasi latihan di pusat latihan dimaksudkan semalam.

LATIHAN TARAF DUNIA: (Duduk, dua dari kanan) Nelson dan Lee ketika memerhatikan demonstrasi latihan di pusat latihan dimaksudkan semalam.

MIRI: Bandar raya ini harus menjadi pusat serta hab pengeluar terbesar minyak dan gas kerana ia pertama kali ditemui di Miri sejak 100 tahun lalu.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata, sudah tiba masanya Petronas menerima kenyataan ini sebagai fakta dan ia antara isu harus diselesai dalam industri berkenaan termasuk menuntut Petronas bersikap lebih praktikal.

“Orang Sarawak punya lebih pengalaman dalam industri ini, kita dalam industri lebih 100 tahun dan ini adalah fakta bahawa industri minyak dan gas mula menapak di Sarawak sejak 1910,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Latihan Memanjat Tali Oceancare Corporation Sdn Bhd (OCSB) di Piasau semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Presien OCSB Datuk Nelson Balang Rining.

Kata Lee, industri minyak dan gas Miri bermula lebih awal dan Petronas hanya wujud penghujung 70-an.

“Sebab itu, Sarawak lebih berpengalaman dalam industri berkenaan sama ada Petronas suka atau tidak, ia satu realiti.

“Sarawak rumah minyak dan gas, kita punya rakyat yang bekerja dalam industri ini di serata dunia malah sudah ada lima generasi bekerja dalamnya,” jelasnya.

Petronas menurut Lee lagi, perlu merombak strategi dan harus menjadikan Miri sebagai pusat latihan bukannya menghantar pekerja menjalankan latihan di luar Malaysia dan di Kerteh, Terengganu.

Jelasnya, Petronas harus menubuh tempat latihan pusat di Miri untuk memperbanyak pekerja Sarawak dan mengelak kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Anak tempatan kita boleh buat yang terbaik jika diberi peluang, lagipun ada anak Sarawak bekerja di luar negara di serata dunia seperti di Afrika dan Norway, Petronas boleh panggil mereka balik bekerja di Sarawak,” kata Lee lagi.

Mengenai pusat latihan berkenaan, ia adalah hasil usaha presidennya Nelson yang juga merupakan salah seorang ahli Persatuan Akses Tali Antarabangsa dan ia merupakan satu kejayaan besar buat Sarawak.

Melalui kewujudan pusat latihan itu, beliau mahu lebih banyak rakyat Sarawak menaik taraf kemahiran dan pada masa sama boleh menjadi antara orang berkemahiran tinggi dalam industri berkenaan.

Kini kata Lee, OCSB mempunyai pusat latihan sendiri dan Petronas boleh menghantar kakitangan mereka di sini bukan lagi ke Kuala Lumpur atau Kerteh.

Beliau pada masa sama mahu Petronas mewujudkan pusat latihan teknikal di Miri supaya lebih ramai rakyat Sarawak belajar dan mempunyai kemahiran tinggi dalam lapangan minyak dan gas.

Lee juga menggesa syarikat tempatan memberitahu kerajaan tentang masalah dihadapi dengan Petronas tanpa risau Petronas akan menamatkan kontrak mereka.

“Saya mahu semua syarikat tempatan beritahu kita masalah dihadapi dengan Petronas.

“Jangan risau kerana sudah tiba masanya kita tidak lagi perlu dibuli dan harus diberi peluang setara,” tambahnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/08/orang-sarawak-berpengalaman-dalam-industri-minyak-kim-shin/