Orang ramai dipelawa hadiri Hari Terbuka GCM, 8-9 Oktober depan

MIRI: Masyarakat setempat di sini dipelawa memeriahkan Hari Terbuka Kelab Gymkhana Miri (GCM) yang diadakan pada 8 dan 9 Oktober depan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Pengerusi penganjur Richard Soo berkata, hari terbuka tersebut akan diserikan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai.

“Selama dua hari berkenaan, orang awam berpeluang menggunakan kesemua kemudahan yang terdapat di GCM dengan percuma.

“Antaranya ialah sesi berenang dengan kemudahan kolam renang bertaraf Olimpik, badminton, skuasy, bersenam di gym GCM dan termasuk sesi aktiviti menyelam serta aktiviti yang lain,” katanya pada sidang media diadakan di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengurus GCM Murugayah Veloo dan jawatankuasa pengurusan GCM.

Menurut Soo, selain menggunakan kemudahan terdapat di GCM, program tersebut turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti permainan dan pertandingan menarik.

“Khasnya kepada peminat permainan Pokemon dan gemar ‘berselfie’, kita membuka ruang untuk Live Pokemon, manakala kaki selfie pula berpeluang mengikuti pertandingan selfie di ruangan disediakan untuk penyertaan.

“Selain itu, pengunjung turut boleh menyertai pertandingan lain yang menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan melukis, angkat berat, hoki dan juga tenis.

“Oleh itu, kita amat mengalu-alukan orang awam hadir beramai memeriahkan program tersebut dan merebut hadiah yang disedia,” katanya.

Bagi pengemar makanan berbagai citarasa juga turut berpeluang menikmati pilihan juadah makanan dan minuman di gerai-gerai yang ada.

“Antara juadah bakal menarik orang tempatan di sini ialah Nasi Kak Wok, salah satu menu popular di negeri Kelantan, selain terdapat homemade sate, homemade ais krim, homemade burger, ABC, rojak, mi jawa dan makanan tempatan lain.

“Manakala bagi mereka ingin membuat tatu, kita turut mempunyai gerai tatu yang dikendalikan oleh Borneo Art Association (Felix Dixon), yang menawarkan harga berpatutan khas pada hari terbuka kelak. Jadi, rebutlah peluang itu nanti,” ujarnya.

Murugayah memberitahu GCM turut mengadakan promosi keahlian dengan potongan yuran kemasukan RM1,000 daripada RM2,500 berserta deposit RM500 (dapat dikembalikan).

“Ini adalah tawaran sangat menarik kepada orang awam kerana mereka perlu membayar RM2,000 termasuk deposit menjadi ahli yang memberi keistimewaan anak ahli dan mereka layak menggunakan semua kemudahan di GCM.

“Bahkan juga, mereka baharu mendaftar menjadi ahli turut berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah lumayan.

“Tawaran tersebut dibuka pada dua hari terbabit dan kita mengalu-alukan masyarakat merebut peluang berkenaan,” katanya.

Jelas Murugayah lagi, selain pelbagai kemudahan sukan tersebut, GCM turut mempunyai dewan serbaguna yang boleh dijadikan tempat untuk mengadakan berbagai aktiviti, restoran serta tempat bagi sesi karaoke.

Mereka ingin mengetahui lanjur berhubung Hari Terbuka GCM atau mengenai promosi keahlian GCM, boleh menghubungi pihak pengurusan di talian 085-434 655 atau emelkan pertanyaan ke gcm1913­_club@yahoo.com.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/24/orang-ramai-dipelawa-hadiri-hari-terbuka-gcm-8-9-oktober-depan/