Ops SAR cari pemandu kereta terhumban diteruskan

MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemandu kereta yang terhumban dari feri ke sungai Liku, di sini malam tadi disambung semula kira-kira jam 7 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata usaha bertumpu kepada pencarian di permukaan air selepas dua rakan mangsa yang terselamat menyatakan pemandu terbabit berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum ia tenggelam.

Pada masa sama, katanya, unit penyelam turut ke lokasi bagi menarik keluar kereta Proton Saga yang tenggelam di tengah sungai pada kedalaman enam meter.

“Dalam kejadian 8.45 malam tadi, tiga mangsa dalam perjalanan dari Ladang Woodman ke Pasar Miri sebelum kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan terhumban dari atas feri ke dalam sungai.

“Bagaimanapun, dua mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian, manakala pemandu kereta dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, hasil siasatan awal menunjukkan pemandu terbabit tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kereta jenis Proton Saga itu terhumban dari feri berkenaan.

“Ops SAR dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, dengan sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan.

“Kita sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada dua mangsa yang terselamat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jengkaut turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu usaha menarik keluar kenderaan terbabit.

Dua mangsa yang selamat dikenali sebagai Jerunsin Ijok, 22, dan Jivean Pilau, 19, manakala pemandu kereta yang masih hilang ialah Jenical Igul, 21.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/06/ops-sar-cari-pemandu-kereta-terhumban-diteruskan/