Ops Ikrar: 44 PATI diberkas atas pelbagai kesalahan di Bintulu

PERIKSA: Anggota penguat kuasa Imigresen Bintulu sedang menjalankan
pemeriksaan ke atas individu di kilang papan lapis tersebut.

PERIKSA: Anggota penguat kuasa Imigresen Bintulu sedang menjalankan pemeriksaan ke atas individu di kilang papan lapis tersebut.

KUCHING: Unit Penguatkuasaan Imigresen Bintulu yang diketuai oleh TPPI Nor Mohd Sujeiry Mat Ali menjalankan Ops Ikrar (Mahir) ke atas sebuah kilang papan lapis di Jalan Kemena Land District, Jalan Nyigu, Bintulu semalam.

Operasi itu disertai seramai 39 anggota yang terdiri daripada anggota-anggota unit operasi dari Jabatan Imigresen Miri, Sri Aman dan Kuching.

Hasil pemeriksaan, seramai 44 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dikesan dan diberkas atas pelbagai kesalahan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan 20 lelaki Indonesia yang ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tinggal melebihi masa dan pas yang tamat tempoh.

Manakala, selebihnya seramai 19 lelaki juga warga Indonesia ditahan di bawah seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana disyaki gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah ketika berada di negeri ini.

Operasi yang bermula sekitar jam 4.45 petang itu turut disertai oleh Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Ken Leben serta Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Sarawak, Garry Belayong John Siki.

Ketika dihubungi, Ken menegaskan bahawa operasi secara besar-besaran akan diteruskan di seluruh Sarawak.

“Kita akan terus memerangi PATI kerana kehadiran mereka ini sudah pastinya membelenggu dan mengundang pelbagai masalah sosial serta mengancam keselamatan dalam negeri kita,” ujar beliau.

Ken juga berharap semua pihak bekerjasama dalam membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

“Masyarakat boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkenaan dengan aktiviti warganegara asing yang mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan-kawasan tertentu.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu ataupun majikan yang melindungi serta mengambil PATI untuk bekerja di premis mereka,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Garry mengingatkan tempoh pelaksanaan Program Serah Diri Sukarela yang ditawarkan kepada PATI untuk dihantar pulang ke negara asal masih diteruskan sehingga 31 Disember tahun ini.

Program dikenali 3+1 itu memberi peluang kepada majikan menyerahkan PATI atau PATI menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Katanya, PATI yang tamat tempoh permit kerja namun pasport masih sah dan ingin pulang ke negara asal boleh menyerah diri secara sukarela ke pejabat imigresen terdekat dengan kompaun RM300 dan RM100 bagi pas khas dengan syarat harus menyediakan tiket kapal terbang atau tiket bas sendiri untuk pulang ke negara asal.

Operasi itu berakhir sekitar jam 5.55 petang.

Kesemua OYDS (orang yang disyaki) ditahan di Pejabat Imigresen Bintulu untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bekenu, Miri untuk tindakan lanjut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/17/ops-ikrar-44-pati-diberkas-atas-pelbagai-kesalahan-di-bintulu/