Operasi SAR mangsa bot karam diperluas

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di perairan Kota Kinabalu Sabtu lalu, diperluaskan ke perairan Miri, Sarawak, hari ini. – Foto ihsan MMEA

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di perairan Kota Kinabalu Sabtu lalu, diperluaskan ke perairan Miri, Sarawak, hari ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Maritim Nur Hafiza Hasan, berkata keluasan pencarian meningkat kepada 3,900 batu nautika persegi berbanding 3,000 batu nautika persegi semalam.

“Aset yang terbabit dalam SAR hari ini turut meningkat daripada 20 semalam kepada 22 hari ini, berikutan peluasan operasi di Miri,” katanya pada sesi taklimat perkembangan terkini SAR mangsa bot karam, di sini, hari ini.

Nur Hafizah berkata, operasi yang memasuki hari kelima hari ini mungkin berdepan kesukaran berikutan keadaan laut bergelora dan angin kencang di kawasan pencarian.

Semalam, operasi diperluaskan hingga perairan Brunei dengan bantuan pasukan SAR pihak berkuasa negara berkenaan menggunakan sebuah helikopter dan kapal milik kerajaan Brunei.

Operasi pencarian di kawasan lain termasuk di lokasi bot berkenaan dipercayai karam selain sekitar perairan Semarang, Labuan tempat 25 mangsa ditemui sebelum ini, turut dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi.

Sabtu lalu, sebuah bot dinaiki 31 orang termasuk tekong, dua kru dan 28 pelancong warga China dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari jeti Tanjung Aru di sini, selepas tidak tiba ke destinasi pada hari sama.

Berikutan itu, operasi SAR diaktifkan mulai jam 9 malam pada hari yang sama sebelum menemui tekong dan seorang kru bot di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu pada jam 2 petang keesokannya.

Seramai 25 mangsa pelancong warga China, termasuk tiga yang meninggal dunia kemudiannya ditemui pada kira-kira jam 6 petang di perairan Semarang, Labuan oleh kapal nelayan yang melalui kawasan berkenaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/02/01/operasi-sar-mangsa-bot-karam-diperluas/