Operasi jeti Kampung Pulau Melayu haram: William

KUCHING: Operator jeti di Kampung Pulau Melayu, Miri beroperasi secara haram kerana tidak mendapat kelulusan sijil pengesahan jeti, kata Kontroller Lembaga Sungai Sarawak (LSS) William Jinep.

Jelasnya, beliau telah mendapat laporan awal daripada pegawai LSS di Miri mengatakan jeti itu tidak mempunyai sijil pengesahan jeti, maknanya sebarang operasi tidak boleh menggunakan jeti itu.

“Sijil pengesahan jeti bertujuan untuk menentukan sama ada jeti itu selamat untuk digunakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai perkara berhubung siasatan dijalankan oleh pegawai LSS terhadap jeti itu, yang dahulunya pernah diguna membawa pekerja luar pesisir ke beberapa lokasi di perairan Bintulu dan Miri.

Jelasnya, dengan adanya pengesahan itu, tindakan seterusnya akan diambil ialah mengarahkan pasukan teknikal LSS untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut William lagi, mana-mana jeti beroperasi tanpa sijil pengesahan jeti adalah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 33 Ordinan SRB 1993.

Katanya, ketika pegawainya menjalankan pemeriksaan di jeti itu sekitar jam 2 pagi semalam, hanya pekerja yang terdapat di situ tetapi bot serta operator tidak kelihatan.

Pekerja ketika ditanya mengenai nama syarikat yang menjalankan operasi, mereka memaklumkan, ia bukan syarikat tetapi nama individu.

“Pegawai kami telah menyoal siasat pekerja di situ dan saya juga telah mengarahkan mereka untuk menghantar laporan penuh esok hari (hari ini) dan seterusnya baharulah kita membuat keputusan apa yang perlu dilakukan.

“Tetapi buat masa sekarang, pegawai penguatkuasaan kita sedang meninjau situasi ini,” katanya lagi.

Terdahulu terdapat laporan bahawa pekerja luar pesisir dari syarikat minyak dan gas yang berpengkalan di Sarawak telah menggunakan jeti itu bagi membawa pekerjanya yang bekerja di lokasi berbeza dari jeti ke kap krew yang menunggu untuk membawa mereka ke luar pesisir.

Penduduk Kampung Pulau Melayu, Miri juga terkesan dengan kewujudan jeti tersebut di kampung mereka termasuk kesesakan kenderaan meletak kenderaan di sepanjang jalan berhampiran pangsapuri dan kampung di sana.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/19/operasi-jeti-kampung-pulau-melayu-haram-william/