Operasi besar-besaran perangi pembalakan haram

Lebih 400 penguat kuasa JHS, kakitangan SFC, polis, Polis Marin terlibat dalam operasi bermula April

// Oleh Watt Zacchaeus //

PERANGI PEMBALAKAN HARAM: Sapuan (duduk tengah) bergambar bersama para peserta taklimat ‘Say No To Illegal Timbers’ di Sibu, semalam.

PERANGI PEMBALAKAN HARAM: Sapuan (duduk tengah) bergambar bersama para peserta taklimat ‘Say No To Illegal Timbers’ di Sibu, semalam.

SIBU: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan melancarkan operasi besar-besaran menghapuskan pembalakan haram di negeri ini pada April depan, kata Pengarahnya Sapuan Ahmad.

Menyifatkannya sebagai satu operasi yang akan diada-kan di seluruh negeri secara besar-besaran, beliau berkata lebih 400 kakitangan penguat kuasanya sambil dibantu kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC), polis dan Polis Marin meliputi Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching akan terlibat dalam operasi tersebut.

“Kami akan buat tindakan susulan sehingga kami dapat membanteras aktiviti haram ini. Oleh itu, katakan tidak kepada pembalakan haram,” katanya sambil menambah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut membantu mereka dalam Ops Gergaji.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat ‘Say No To Illegal Timbers’ yang dihadiri pengusaha kilang papan di sini, semalam.

Menurutnya, jabatannya dilengkapi dengan 29 kenderaan, empat kenderaan jenis ‘caravan’ dan 50 senjata untuk menjalankan tugas mereka menangani pembalakan haram sambil menggesa orang ramai untuk menjadi mata dan telinga mereka.

Beliau juga menyentuh bahawa kilang papan yang bertapak di kawasan pertanian telah diberi tempoh satu tahun untuk berpindah ke kawasan zon pemprosesan kayu.

Ini kerana tegasnya, apabila tanah pertanian ini dibangunkan pada masa akan datang pasti diwujudkan kawasan perumahan dan aktiviti kilang papan di kawasan tersebut boleh menyebabkan gangguan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata terdapat 513 kilang papan di negeri ini yang telah memohon lesen tetapi telah diarah untuk menggerakkan kawasan pemprosesan di bawah polisi pemutihan.

Pada siri taklimat ini, beliau berkata jabatan itu bermula di Sibu sebelum meneruskannya ke Kuching dan Miri yang meliputi semua pengusaha kilang papan di Sarawak.

“Jabatan Hutan Sarawak sedang menjalankan satu siri taklimat kepada semua industri berasaskan kayu di Sarawak bagi memastikan mereka mematuhi semua peraturan yang berkaitan dengan perhutanan.

“Objektif taklimat ini adalah untuk memberitahu dan mengingatkan semua pemilik kilang papan untuk menggunakan kayu yang sah untuk pembuatan, pengeluaran dan perdagangan mereka.

“Semua operator kilang diberi amaran untuk tidak membeli atau memproses kayu balak haram di kilang mereka.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati memiliki kayu balak haram serta menyalahi undang-undang mengikut akta sedia ada,” tambahnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/01/operasi-besar-besaran-perangi-pembalakan-haram/