OAC, MARC jayakan ekspedisi 4WD ke Sungai Suan Baram

MIRI: Oiltown 4×4 Adventure Club (OAC) dengan kerjasama Miri Amateur Radio Club (MARC) mengadakan ekspedisi pacuan empat roda ke Sungai Suan, Baram pada 31 Disember lalu.

Perjalanan itu merupakan aktiviti sambutan Tahun Baharu 2016 dan tanda kenangan tahun 2015.

Menurut Presiden OAC Mohd Suffri Hamdan, aktiviti berkenaan antara program hujung tahun dan menyasar merapatkan silaturahim ahli OAC dan MARC.

“Ini antara peluang untuk berkumpul dan bersama menyambut ambang tahun baharu selain menikmati perjalanan agak mencabar tersebut,” katanya.

Jelas beliau, aktiviti itu melibatkan 17 orang dan enam kenderaan pacuan empat roda bertolak dari Miri pada 31 Disember ke Sungai Suan yang merangkumi 170 kilometer perjalanan.

Rombongan berkenaan kemudian bermalam di Sungai Suan diselit aktiviti memanggang dan menikmati keindahan sekeliling Sungai Suan waktu malam serta menyambut ambang tahun baharu.

Katanya, dalam perjalanan rombongan kembali ke Miri pada Jumaat (1 Januari) lalu, mereka turut singgah di Long Pilah dan mengambil peluang melihat keindahan di perkampungan pedalaman berkenaan.

Mengulas mengenai OAC tersebut, Mohd Suffri memberitahu bahawa kelab terbabit telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lebih setahun lalu dan kini mempunyai sekitar 40 ahli.

“Kelab OAC ini terbuka kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda dan ia adalah satu-satunya kelab di bawah naungan Jabatan Belia dan Sukan Miri.

“Selain aktiviti ke Sungai Suan, kelab ini juga turut mengadakan aktiviti ke Ulu Niah dan beberapa lokasi pedalaman yang lain sepanjang program tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, selain aktiviti sedemikian, kelab berkenaan juga sedia membantu sekiranya diperlukan bagi memberikan pertolongan logistik kepada masyarakat setempat ketika musim bencana atau banjir.

“Kami juga akan mengadakan aktiviti yang lebih mencabar lagi pada tahun ini dan antaranya ialah ekspedisi ke Limbang dan Lawas pada pertengahan tahun nanti,” ujarnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/02/oac-marc-jayakan-ekspedisi-4wd-ke-sungai-suan-baram/