Namakan gua baharu dengan nama tempatan

Masyarakat Tering cadangkan Tama Nilong, Veno Enar atau Tering sebagai ganti nama Conviction Cave

// Oleh Clare Cinderella //

TUNTUT: Ngang Engan (dua kanan) menunjukkan baju-T yang memapar wajah mendiang ayahnya, Engan Ipoi @ Tama Nilong juga dikenali sebagai Aban Engan, orang pertama menemui Gunung Mulu atau Buduk Ubong. Turut kelihatan ialah anaknya, Willie (dua kiri), Laeng (kiri) dan Dennis.

TUNTUT: Ngang Engan (dua kanan) menunjukkan baju-T yang memapar wajah mendiang ayahnya, Engan Ipoi @ Tama Nilong juga dikenali sebagai Aban Engan, orang pertama menemui Gunung Mulu atau Buduk Ubong. Turut kelihatan ialah anaknya, Willie (dua kiri), Laeng (kiri) dan Dennis.

MIRI: Masyarakat Tering di sini meminta Kerajaan Negeri Sarawak menukar nama diberi kepada gua baharu ditemui, Conviction Cave kepada nama tempatan.

Masyarakat Tering yang majoritinya mendiami Long Terawan di Mulu, melalui Persatuan Masyarakat Tering Miri (PMTM) telah mencadangkan tiga nama dipilih dan dipersetujui sebulat suara masyarakat Tering iaitu Tama Nilong, Veno Enar atau Tering.

Menurut Setiausaha PMTM Laeng Kulay, ketiga-tiga nama itu dipilih berdasarkan kesesuaiannya dengan budaya, tradisi dan sejarah kaum Tering termasuk kaitan dengan kewujudan Taman Negara Gunung Mulu itu sendiri.

“Sebagai contoh nama Tama Nilong dipilih sebagai mengenang jasa moyang kami bernama Tama Nilong atau turut dikenali sebagai Aban Engan atau nama sebenarnya Engan Ipoi, orang pertama menemui Gunung Mulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, jika mempunyai nama lain selain ketiga-tiga nama dicadang itu, kerajaan amat dialu-alukan berbuat demikian namun perlu merujuk kepada komuniti berkenaan.

“Namun yang pasti kami tidak mahu dan tidak bersetuju sama sekali nama gua ini dinama dengan nama dalam bahasa asing.

“Ia tidak mencerminkan sama sekali ciri tempatan mahupun budaya penduduk menghuni kawasan ini sejak dahulu kala,” katanya.

Jelasnya, malah meletak nama asing juga seakan-akan tidak memberi penghormatan kepada penduduk asal yang menemui gua di Mulu dan Gunung Mulu itu sendiri.

Pada 6 November lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-12 Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Kuching mengumum penemuan gua baharu di taman negara tersebut.

Dalam kenyataan akhbarnya pada 9 November, SFC mengesahkan bahawa gua baharu ditemui dan diterokai itu dinamakan ‘Conviction Cave’.

Menurut SFC, nama berkenaan dipilih kerana ahli pasukan ekspedisi amat yakin terdapatnya sebuah gua besar wujud di kawasan pencarian tersebut, walaupun pasukan ekspedisi pada awalnya tiada mempunyai sebarang petunjuk mengenainya.

“Namun selepas itu, pasukan ekspedisi menemui sebuah gua yang amat hebat dan berkelas dunia, Ia seolah-olah sebuah lubang di atas tanah sahaja,” kata kenyataan SFC sambil menyifatkan ia penemuan bersejarah abad ini.

Dalam perkembangan berkaitan juga, PMTM turut menggesa kerajaan khususnya agensi berkaitan agar mengembali semula nama asal beberapa kawasan di Taman Negara Gunung Mulu tersebut, yang kebanyakannya ditukar menjadi nama-nama lebih moden dan tidak dikenali lagi penduduk asalnya.

“Sebagai masyarakat peribumi di taman negara berkenaan dan telah menduduki beratus tahun sebelum ia (taman negara) ditemui wujud, nenek moyang kami telah menamakan beberapa kawasan di situ dan ia disebut dan diwarisi turun-temurun, sehingga kini.

“Akan tetapi apabila kerajaan mengambil alih kawasan ‘permainan’ dan ‘pemburuan’ kami itu, sebagai taman negara, nama yang kami sebut, ditukar menjadi satu nama amat asing dan tidak dikenali golongan tua kaum Tering,” tegasnya.

Pada sidang media tersebut beliau menyenarai 13 nama kawasan yang mempunyai nama asal yang diberikan oleh penduduk setempat, kaum Tering, tetapi diberikan nama baharu oleh kerajaan.

Semua 13 lokasi disenaraikan itu ialah Deer Cave atau Gua Rusa yang nama asalnya ialah Lubang Payo, Clear Water Cave (Arul Pa Li-o); Wind Cave (Lubang Bariew), Drunken Cave (Lubang Tebalah), kawasan Kem 5 (Lepo Lubang Balang), Gunung Mulu (Buduk Ubong), Sungai Paku (Arul Pauh), Hot Spring (Arul Anung); Sungai Melinau (Pa’ Belinau); Sungai Pala (Arul Teguluh), Lobang Cina (Lubang Kinak) dan Pinnacle (Batu Buduk Apui).

Manakala tapak ibu pejabat Taman Negara Gunung Mulu yang diduduki ketika ini, bagi kaum Tering ia amat dikenali sebagai Luma Maun Orang Kaya Temenggong (OKT) Lawai bermaksud Rumah Lama OKT Lawai, iaitu salah salah seorang pemimpin Tering yang pernah diberi anugerah oleh Sultan Brunei Darussalam (ketika kawasan Mulu dan Long Terawan masih sebahagian daripada wilayah Brunei).

Daripada kesemua nama di taman negara berkenaan, menurut Laeng, mereka hanya mengenali tiga nama sahaja dalam bahasa tempatan atau masih dikekal iaitu Pa Litut atau sungai berlumpur, Gua Lagang dan Gua Lang, kedua-duanya dinama sempena nama dua penduduk tempatan kaum Tering dari Long Terawan yang menemui gua berkenaan.

Menurut Laeng, masyarakat Tering khususnya di Long Terawan, tidak kisah jika nama kawasan berkenaan diubah mengikut nama sedia ada, namun mereka mahu agar nama asal turut dikembali dan diletak pada setiap papan tanda di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh letak apa sahaja nama mereka rasa sesuai, kami tidak kisah tetapi pada masa sama, mereka wajar mengekal nama asal, yang telah diberikan oleh penduduk asal tempat ini.

“Contohnya Gua Rusa, kami mahu agar nama asalnya Lubang Payo diletak di atas sekali pada setiap papan tanda dan di bawahnya anda boleh letak nama ‘Deer Cave’ dan Gua Rusa. Hanya itu yang kami mahu,” jelas Laeng lagi.

Usaha mengembalikan semula nama asal kawasan itu atas permintaan golongan tua kampung Long Terawan, terutama anak lelaki kepada Tama Nilong @ Aban Engan, iaitu Ngang Engan yang kini sudah berusia 95 tahun dan semakin uzur.

Ngang yang juga penasihat PMTM merupakan anak lelaki kedua Tama Nilong, dilahir pada tahun yang sama ayahnya Tama Nilong menemui Gunung Mulu dikenali sebagai Buduk Ubong di kalangan masyarakat Tering.

Ia turut membawa maksud Bukit Ubong, mengambil sempena nama Sungai Ubong terletak di kaki gunung tersebut, pada 1920-an.

Kini hanya tinggal Ngang dan seorang lagi adiknya yang masih hidup dan mahu agar apa yang diwarisi kaumnya (nama-nama asal dalam bahasa Tering) dapat dikembali kepada mereka dan dikekalkan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Sementara itu, seorang lagi penasihat PMTM Dennis Along, berkata Taman Negara Gunung Mulu adalah taman negara yang diiktiraf dunia malah disenaraikan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia.

“Dunia tahu Gunung Mulu dan Taman Negara Gunung Mulu dan kami juga mahu dunia tahu bahawa kami wujud di Mulu dan kaum Tering itu wujud. Kami belum pupus meskipun jumlah kami amat minoriti,” tambah beliau lagi.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ngang dan anak lelakinya, Willie Kajan Ngang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/19/namakan-gua-baharu-dengan-nama-tempatan/