Naim sumbang RM200,000 kepada HUS beli peralatan perubatan

SUMBANGAN NAIM: Dr Chin (dari kiri), Dr Intan, Dr Asri, Jamilah, Rashid dan Caroline semasa majlis penyerahan di HUS semalam.

SUMBANGAN NAIM: Dr Chin (dari kiri), Dr Intan, Dr Asri, Jamilah, Rashid dan Caroline semasa majlis penyerahan di HUS semalam.

KUCHING: Kemudahan ‘Indirect Laser’ dan ‘B-Scan’ di Hospital Umum Sarawak (HUS) akan membantu mengurangkan kes-kes yang dirujuk untuk pembedahan oftalmologi pediatrik.

Naim Group of Companies (Naim) semalam menyerahkan cek bernilai RM200,000 kepada HUS untuk membolehkan pihak hospital membeli kedua-dua peralatan oftalmologi tersebut.

Ia telah disaksikan oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Jamilah berkata wang sumbangan tersebut merupakan hasil daripada kutipan amal yang diadakan semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Naim di Miri.

Ketua Menteri turut menyumbang beberapa buah lagu sebagai usaha menyokong tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh pihak NAIM Group of Companies.

“Dengan adanya kelengkapan ini, rakyat akan berupaya mendapatkan rawatan di negeri ini tanpa perlu menghabiskan wang tambahan bagi mendapatkan rawatan ke luar negeri,” katanya.

Ahli Lembaga Naim Goup of Companies Datu Abdul Rashid Mohd Azis berkata pihaknya percaya dengan idea menyumbang semula kepada masyarakat.

“Ini bukan sekadar usaha CSR tetapi sumbangan ikhlas dari hati kami didorong semangat untuk membuat perbezaan dalam kehidupan orang ramai,” kata Rashid.

Pihaknya sebelum ini pernah menderma mesin hemodialisis kepada pihak HUS, juga bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, Pengarah Pusat Jantung Sarawak Dr Asri Riffin berkata peralatan baharu itu akan ditempatkan di Pusat Jantung.

“Kami mempunyai pakar mata dan pakar kanak-kanak yang sentiasa datang dari Kuala Lumpur untuk melakukan lawatan setiap bulan untuk mengkaji semula kes dan melakukan beberapa operasi pembedahan.

“Sebelum ini, kami terpaksa menghantar beberapa kes oftalmologi pediatrik ke ibu negara.

“Sekarang kami dapat mengurangkan kes rujukan tersebut dan ia memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, terutama kanak-kanak,” tambahnya.

Ketua Jabatan Oftalmologi HUS Dr Intan Gudom menjelaskan bahawa mesin ‘Indirect Laser’ digunakan untuk menangani masalah yang disebabkan oleh kelahiran pramatang, apabila keadaan retina mata bayi tidak lengkap.

Sementara itu, ‘B-Scan’ digunakan untuk memeriksa retina dalam kes-kes di mana bayi mempunyai katarak.

Turut hadir Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing dan Ketua Komunikasi Korporat Naim Caroline Yeo.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/15/naim-sumbang-rm200000-kepada-hus-beli-peralatan-perubatan/