Naik taraf sistem perparitan kampung tradisi cabaran besar kepada PBT

KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di beberapa kampung tradisi di konstituensi Muara Tuang diakui merupakan cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi bertanggungjawab melaksanakannya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, selain jumlah kepadatan rumah di kampung tradisi, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan itu juga berdepan masalah terutama dalam memohon keizinan daripada pemilik tanah mahu-pun rumah di situ sebelum memulakan sebarang kerja.

“Bagaimanapun, kementerian kita akan terus menjalankan kajian dan bekerja-sama dengan PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu di kampung tradisi ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Idris Buang (BN-Muara Tuang) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Selain itu katanya, satu jawatankuasa khas untuk Pasukan Perparitan Bandar turut akan dilantik diketuai oleh JPS selain dibantu PBT, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar-bandar di seluruh negeri ini.

Dalam perkembangan ber-kaitan, Penguang turut menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa membantu bagi mengatasi masalah banjir dan sistem perparitan di seluruh Sarawak khususnya apabila ia melibatkan bantuan dan peruntukan.

“Sebagai contoh, di bawah Rolling Plan Pertama, sebanyak RM350 juta telah diluluskan untuk Kuching, Samarahan, Sibu, Miri, Bintulu dan Limbang.

“Pada masa sama, PBT juga menerima peruntukan bagi mengatasi masalah banjir kilat dan banjir sungai di kawasan kampung tradisi yang mana jumlah keseluruhan peruntukan kira-kira RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh ketika menjawab pertanyaan Miro Simuh (BN-Serembu) mendedahkan cadangan pembinaan Empangan Bengoh tidak akan diteruskan ekoran bantahan daripada penduduk setempat di kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan empangan tersebut merupakan kawasan strategik untuk membekalkan sumber air bersih terutama kepada penduduk sekitar dan penduduk di bandar raya ini.

Justeru, jelasnya, wajar ia dikekalkan menjadi sebahagian daripada kawasan tadahan air di bawah Kawasan Tadahan Air Bau yang di-wartakan dalam Swk.L.N sejak 21 November 2003.

“Oleh itu keaslian kawasan ini perlu dikekalkan sebagai kawasan tadahan air dan sebarang pembangunan di kawasan tadahan ini perlu dijalankan berhati-hati agar tidak merosakkan ekosistem seterusnya menjejaskan kualiti air di kawasan ini,” katanya.

Malah jelasnya, laporan perlu disediakan terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sebelum sesuatu aktiviti perladangan atau pembangunan tanah secara besar-besaran dilakukan di kawasan Bengoh.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/14/naik-taraf-sistem-perparitan-kampung-tradisi-cabaran-besar-kepada-pbt/