Mulu bakal jadi satu lagi destinasi tambahan di kawasan BIMP-EAGA

KUCHING: Mulu bakal menjadi satu lagi destinasi tambahan yang dipilih sebagai laluan baharu bagi Pengembangan Penyambungan Udara di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia Filipina (BIMP-EAGA).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, selain Mulu di Sarawak, Sandakan dan Tawau di Sabah antara destinasi pilihan tambahan bagi Malaysia, yang diyakini meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkaitan.

“Ketiga-tiga destinasi ini merupakan tambahan kepada destinasi sedia ada yang telah kita laksanakan sebelum ini iaitu Kuching dan Miri (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Labuan.

“Tambahan destinasi ini bermakna, ia akan lebih banyak rangkaian perhubungan, sekali gus meningkatkan industri pelancongan, kedatangan pelawat selain mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi di bawah kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-11 di sini yang dihadiri rakan sejawatannya Sugihardjo dari Indonesia, Dato Mustappa Sirat (Brunei) dan Felipe A.Judan (Filipina) yang diadakan di sini, semalam.

Menurut Liow, Pengembangan Penyambungan Udara itu akan ditandatangani di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) di Manila sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN pada November depan.

“Selain tiga tambahan destinasi di Malaysia, Indonesia juga akan mendapat dua laluan tambahan baharu bagi pengembangan ini sementara Filipina akan mengumumkan laluan mereka pada mesyuarat yang diadakan November nanti,” tegasnya.

Sementara itu dalam kenyataan bersama menteri-menteri pengangkutan BIMP-EAGA yang diedarkan kepada media semalam menjelaskan, mereka mengalu-alukan pemeteraian protokol untuk meminda MoU mengenai Pengembangan Penyambungan Udara.

Ia akan dimeterai sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-22 pada November 2016 di Manila, yang mahu menyediakan pendekatan lebih lentur untuk memudahkan kelestarian perkhidmatan udara di laluan sedia ada dan menggalakkan pembukaan laluan baharu.

“Kami menggesa pegawai pengangkutan bekerja rapat dengan syarikat penerbangan untuk memastikan pelaksanaan protokol ini sepenuhnya.

“Kami sedar, dengan mengambil kira geografi BIMP-EAGA yang bersifat kepulauan, pengangkutan maritim akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan konektiviti pengangkutan dan merangsang perdagangan intra-EAGA,” kata Liow mewakili rakan sejawatannya.

Menteri-menteri berkenaan turut mengumumkan pelancaran Buku Log Pemandu BIMP-EAGA bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang sebagai sebahagian daripada mekanisme pemantauan dalam pelaksanaan MoU mengenai Pergerakan Merentasi Sempadan bagi Bas dan Bas Persiaran yang ditandatangani pada 2007.

Katanya mereka menggariskan keperluan untuk meningkatkan lagi penyelarasan antara pegawai-pegawai pengangkutan dan kastam dalam memantau kemajuan dalam pelaksanaan Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS) dan mengenal pasti inisiatif yang dapat dilaksanakan dalam BIMP-EAGA di bawah pendekatan ‘test-bed’.

“Kami menyuarakan keyakinan bahawa keutamaan strategik dalam sektor pengangkutan akan menyumbang dengan bermakna kepada usaha mencapai wawasan yang lebih berani dan lebih melihat ke hadapan selain matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN dan Pelan Induk Konektiviti ASEAN 2025.

“Kami menggesa pegawai pengangkutan kanan mengamalkan pemilihan, kejelasan dan fokus yang lebih baik dalam pemilihan inisiatif dan projek keutamaan di bawah keutamaan strategik dan memastikan pelaksanaan projek ini dipantau dengan dekat,” kata Liow.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/26/mulu-bakal-jadi-satu-lagi-destinasi-tambahan-di-kawasan-bimp-eaga/