MPSS akan jalankan penyelidikan menerusi pemantauan trend sosial

SIDANG MEDIA: Fatimah (duduk, tiga kanan) merakam kenangan bersama
perwakilan yang juga ahli MPSS yang baharu dilantik selepas sidang media di
Kuching semalam.

SIDANG MEDIA: Fatimah (duduk, tiga kanan) merakam kenangan bersama perwakilan yang juga ahli MPSS yang baharu dilantik selepas sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPSS) akan menjalankan penyelidikan menerusi pemantauan trend sosial dalam kalangan masyarakat hari ini dan tampil dengan pelan tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah sosial tersebut.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, daripada keseluruhan 18 masalah sosial yang dikenal pasti, sebanyak sembilan masalah sosial akan menjadi fokus utama MPSS.

“MPSS akan menjalankan penyelidikan di mana kita mahu mencari penyelesaian dan pelan tindakan yang patut diambil bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

“Sembilan fokus utama itu termasuk gejala rogol, AIDS/STD/HIV, dadah, remaja hamil luar nikah, perceraian (adat, Islam, sivil), keganasan rumah tangga, keciciran pelajar, gelendangan dan masalah pengenalan diri (kewarganegaraan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli MPS di Baitulmakmur, di sini semalam.

Tambahnya, penyelidikan yang dijalankan MPSS akan mempunyai signifikan tersendiri selain memberi impak besar terutama dari segi cadangan dan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, selain hasil penyelidikan dan pelan tindakan untuk dilaksanakan bagi mengurangkan masalah-masalah sosial tersebut, MPSS juga akan tampil dengan Indeks Kesejahteraan Sosial Negeri Sarawak (IKSNS) tahun depan.

Katanya indeks itu berperanan mengurus maklumat data sosial yang lebih sistematik mengikut bahagian di seluruh negeri ini.

“Pada tahun depan juga, kita (MPSS) akan mengadakan bengkel dan seminar dan tampil dengan IKSNS supaya kita tahu indeks masalah sosial mengikut bahagian seperti Limbang, Sibu, Miri dan sebagainya termasuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan tahap kesejahteraan di setiap bahagian.

“Dengan ini juga, jika kita berjaya memperkenalkan indeks ini, Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai indeks seumpama itu, selepas negara Switzerland dan Bhutan,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, pelan tindakan yang akan disediakan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu adalah berdasarkan 10 Rukun yang telah dipersetujui.

10 Rukun itu termasuk Institusi Kekeluargaan, Bina Upaya, Perumahan, Keharmonian Sosial, Keselamatan Awam, Tanggungjawab Sosial, Infrastruktur dan Ruang Sosial, Amalan dan Pentadbiran Yang Baik, Keselamatan Persekitaran serta Perlindungan Kesihatan dan Sosial.

Mengenai majlis pelantikan tersebut, Fatimah memberitahu, seramai 19 ahli telah dilantik dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Ahli-ahli itu terdiri daripada perwakilan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri, Unit Perancang Negeri Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Persatuan Disleksia Sarawak, Special Olympic Kuching, PEMADAM, Menteri Muda Solidariti, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Statistik Sarawak.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datin Megir Gumbek, Pengarah AADK Wan Madihi Wan Salleh, Pengarah JWKS Noriah Ahmad, Pengerusi Special Olympic Kuching Datin Dayang Mariani Abang Zen serta beberapa perwakilan lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/08/mpss-akan-jalankan-penyelidikan-menerusi-pemantauan-trend-sosial/