MLM sudah lama masuk universiti

UMUM seringkali tersilap antara MLM (Pemasaran Berbilang Aras) yang sah dan tidak sah kerana memang sukar membezakan antara kedua-duanya. Syarikat MLM tidak sah ini biasanya berlindung dengan konsep perniagaan hampir sama dengan yang sah sehinggakan ia sukar untuk dibezakan.

MLM tidak sah ini mirip kepada skim piramid atau skim cepat kaya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam penulisan bertajuk ‘Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat, MLM’ yang mirip skim piramid ini mempunyai skim membabitkan permainan wang, iaitu downline yang baharu ditaja upline akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari downline lain.

Sindiket itu kebanyakannya memfokus pengrekrutan ahli berbanding penjualan barangan dan sebahagian besar pendapatan syarikat adalah melalui pembayaran yuran ahli baharu berbanding penjualan produk. Skim ini juga mempunyai sistem di mana ahli boleh beli keahlian hingga membolehkan mereka menikmati bonus lebih besar.

Ini berbeza dengan MLM sah di mana ada produk khusus ditawarkan dan ahli akan dipromosikan menjadi ketua berdasarkan pengalaman kerja serta jualan mereka. Artikel ini mengaitkan MLM sinonim dengan berniaga larut malam kerana modus operandi mesyuarat dan latihan yang sering dilaksanakan pada waktu malam.

Potensi perniagaan berkonsepkan MLM sah adalah besar dan dapat jana keuntungan, maka di sinilah pihak tidak bertanggungjawab ambil kesempatan untuk tiru perniagaan MLM sah tetapi membuat pengubahsuaian sehingga kelihatan seperti sesuatu yang sah dan selamat.

Janjikan tawaran hebat

Ahli yang tiada maklumat lengkap serta tertarik untuk menikmati keuntungan besar dalam jangka masa singkat, biasanya akan tertarik dengan tawaran hebat skim MLM ini. Agak sukar meyakinkan ahli yang telah menyertai skim ini untuk kembali ke pangkal jalan.

Namun, kebiasaannya, kesedaran itu hanya datang selepas seseorang ahli menanggung kerugian modal yang dilaburkan. Kerugian ini akan sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada mereka dan mengganggu tumpuan mereka. Jika pelaburan kecil, risiko dan kesan psikologi juga kecil. Kesan kepada ahli yang kerugian wang pelaburan berbeza antara satu sama lain.

Jika ahli mempunyai pendapatan tetap, dia masih mempunyai pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Malangnya, jika pelajar universiti, bolehkah kita bayangkan apa akan terjadi kepada mereka ini jika pelaburan sindiket MLM ini akhirnya menjerat diri.

Perniagaan berkonsepkan MLM sudah lama memasuki universiti awam dan menjadikan pelajar sebagai sasaran. Sindiket ini bukan hanya menyasarkan pelajar, turut merekrut kakitangan pentadbiran dan akademik untuk jadi ahli. Apa yang membimbangkan, sindiket MLM ini rata-rata bertopengkan perniagaan yang jelas, mempunyai produk tetapi pada masa sama berciri-ciri seperti sindiket skim piramid.

Ini seperti membayar bonus apabila dapat merekrut ahli baharu menyerupai sistem piramid serta perlu membayar sejumlah yuran tertentu untuk melayakkan mereka menjual barangan kepada kumpulan sasaran. Ada syarikat MLM ini mengadakan sesi taklimat dalam universiti di mana penyertaan terbuka kepada semua pelajar.

Sasaran pelajar baharu

Pelajar ini kebanyakannya tahun satu kerana masih mentah dalam selok-belok pengajian dan pembelajaran di universiti.

Sindiket MLM ini bijak memilih masa sesuai untuk beroperasi. Kebiasaannya, mereka akan mendekati pelajar sebaik sahaja pelajar dapat wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau sebaik wang biasiswa pengajian masuk ke akaun pelajar.

Pelajar dipujuk menyertai skim yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda. Kuasa pujukan mereka terbukti berkesan. Kebiasaannya pelajar akan dibawa menghadiri latihan. Menurut seorang pensyarah sebuah universiti awam di Nilai, ada satu kes sekumpulan pelajar dijemput menghadiri satu taklimat pemasaran di KLCC. Setiba di KLCC, pelajar dipujuk menyertai satu skim MLM.

Yang mengujakan ialah ketika sesi latihan, pihak MLM akan jemput ketua mereka yang berjaya mendapat jualan jutaan ringgit dalam tempoh singkat. Ketua inilah akan mempengaruhi bakal pelanggan untuk bersetuju jadi ahli. Kebiasaannya, pada masa inilah, ketua itu tadi akan menceritakan pengalamannya gagal dalam beberapa perniagaan sebelum ini, sehinggalah beliau dikenalkan dengan MLM yang ingin dipromosikan.

Ini dipanggil testimoni pelanggan. Pendekatan ini didapati sangat berkesan kerana lebih mudah mempengaruhi pelajar dengan contoh kejayaan di depan mata.

Pelajar terbabit dalam sindiket MLM ini kebiasaannya mereka yang bersifat jujur dan mudah dipengaruhi. Menurut pelajar yang terjerat sindiket MLM ini, mereka terpengaruh kerana inginkan keuntungan cepat. Kesannya, mereka kerugian sejumlah wang PTPTN.

Masuk angin keluar asap

Ada juga pelajar berhutang dengan rakan serta ibu bapa untuk buat pelaburan dan jangkaan akan mendapat pulangan dalam jangka masa tertentu. Malangnya, ia tidak semudah disangka. Apabila terjerat dan tiada pulangan pada masa dijanjikan, pelajar menjadi buntu.

Pemilik sindiket MLM yang tidak sah ini tidak seharusnya menjadikan pelajar universiti sasaran menjadi ahli. Pelajar dieksploitasi secara visual dengan mempamerkan kemewahan duniawi seperti kereta mewah, gajet terkini dan wang tunai yang banyak.

Hakikatnya mungkin kereta mewah itu kereta sewa, gajet pula tiruan dan wang tunai adalah pinjaman bank. Pendek kata, sindiket MLM tidak wajar menjadikan pelajar universiti sebagai sasaran ahli. Merekrut pelajar yang tiada sumber pendapatan adalah perbuatan tidak beretika.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/23/mlm-sudah-lama-masuk-universiti/