Misteri bot hanyut terungkai

MIRI: Bot misteri yang ditemui terbalik dan hanyut di perairan Tanjung Payung di sini, Khamis lalu disahkan milik nelayan Vietnam.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, berkata ia disahkan oleh Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Malaysia (MRCC) selepas menerima maklumat mengenainya daripada MRCC Vietnam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, semua nelayan Vietnam terbabit sudah berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Vietnam di luar perairan Malaysia.

“MRCC Vietnam memaklumkan, bot nelayan negara itu karam pada 6 Oktober lalu dan kesemua kru bot ditemui oleh Tentera Laut Vietnam dalam keadaan selamat.

“Berikutan maklumat itu, operasi carilamat ditamatkan pada jam 9 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bot nelayan Vietnam yang hanyut dalam keadaan terbalik itu ditemui oleh kapal tangki Seri Cempaka yang melalui kawasan itu kira-kira jam 4 petang pada Khamis lalu.

Nakhoda kapal tangki membawa muatan gas cecair asli itu, Kapten Nari Rasul, kemudian memaklumkan penemuan itu kepada Maritim Malaysia Daerah Miri.

Maritim Malaysia kemudiannya menggerakkan asetnya KM Stapa untuk mengesan bot berkenaan.

Sebelum ini, pada 21 November lalu, sebuah bot karam ditemui hanyut oleh pekerja pelantar minyak di Bintulu.

Bot berkenaan kemudian tenggelam, namun sehingga kini tidak diketahui nasib kru bot itu selain tidak diketahui siapa pemiliknya berikutan tiada laporan kehilangan nelayan tempatan di negeri ini.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/12/638593/misteri-bot-hanyut-terungkai