Miri memerlukan lebih ramai anggota polis

MIRI: Miri memerlukan lebih ramai anggota polis terutama pada waktu puncak bagi menampung keperluan populasi penduduk yang kian meningkat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata secara purata sekitar 500 pegawai polis untuk 350,000 populasi Miri dan jumlah ini masih tidak mencukupi.

“Kita memerlukan lebih ramai pegawai polis terutama pada waktu puncak iaitu menjelang penghujung tahun yang mana penduduk Miri mencecah lebih sejuta.

“Ini penting untuk memantapkan keselamatan penduduk di Miri sekali gus dapat mengurangkan jenayah,” katanya pada ceramah keselamatan di Kelab Rekreasi Lutong anjuran bersama Rukun Tetangga (RT) Zon Lutong dan Kuala Baram.

Lawrence berkata walaupun jumlah anggota polis tidak mencukupi namun beliau berpuas hati dan berterima kasih kerana polis sentiasa komited menjalankan tugas dan ini terbukti dengan penurunan indeks jenayah di sini.

“Kerjasama semua pihak khususnya RT amat penting dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya di kawasan perumahan,” katanya sambil memuji komitmen penganjur mengadakan ceramah keselamatan tersebut.

Lawrence berharap RT turut menubuhkan jawatankuasa rondaan di kawasan perumahan masing-masing bagi mengekang kejadian jenayah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/13/miri-memerlukan-lebih-ramai-anggota-polis/