MBM berusaha realisasi impian Miri memiliki pelabuhan terbaik

SOKONGAN: Adam (dua kanan) menerima cenderamata kenangan daripada
Pengurus Besar LPM Shebli Hairani (dua kiri). Turut kelihatan ialah Pengurus
Kanan Perkhidmatan Pembangunan Perniagaan LPM Serawa Budol (kiri) serta
Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad.

SOKONGAN: Adam (dua kanan) menerima cenderamata kenangan daripada Pengurus Besar LPM Shebli Hairani (dua kiri). Turut kelihatan ialah Pengurus Kanan Perkhidmatan Pembangunan Perniagaan LPM Serawa Budol (kiri) serta Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan melakukan usaha terbaik bagi mendapat sokongan kerajaan negeri dan pusat serta syarikat korporat besar bagi melabur dan membantu merealisasi hasrat Miri memiliki sebuah pelabuhan laut dalam terbaik.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata hasil daripada pembentangan dan taklimat terperinci yang disampaikan oleh Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) semalam, beliau amat tertarik dan kagum dengan usaha dan cadangan menaik taraf Pelabuhan Miri seiring dengan pembangunan dan kemajuan yang dicapai oleh Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan.

“MBM akan memainkan peranannya dengan mempromosikan cadangan Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) yang mahu menaik taraf pelabuhan sedia ada menjadi sebuah pelabuhan laut dalam dan berpotensi tinggi untuk berkembang maju serta menjadi yang terbaik di rantau ini.

“Ini kerana kita amat menyedari peranan amat penting yang dimainkannya untuk mengembang dan merancak lagi kegiatan ekonomi di bahagian ini dan utara negeri ini khususnya,” katanya kepada pemberita, selepas menerima kunjungan hormat dan taklimat daripada pihak pengurusan LPM di sini, semalam.

“Perkara paling utama di sini ialah keperluan bagi Miri untuk memiliki sebuah pelabuhan laut dalam, yang seterusnya akan bertindak sebagai pemangkin ekonomi bahagian ini dan daripada apa yang disampaikan, saya rasa MBM akan memainkan peranan bagi mendapatkan sokongan menjayakan usaha ini,” jelas beliau.

Adam berkata, beliau difahamkan bahawa pelabuhan laut dalam ini juga akan bertindak sebagai pangkalan atau pusat bagi pembinaan dan memperbaiki kapal dan penyelenggaraannya di samping menjadi hab logistik perkapalan secara bersepadu untuk perdagangan di utara negeri.

Melalui pembentangan disampaikan, pelabuhan laut dalam Miri ini juga dibangun sebagai ‘distripark’ di mana pelbagai aktiviti ekonomi boleh dilakukan termasuk menempatkan gudang penyimpanan minyak kelapa sawit mentah serta bahan mentah lain, selain pelancongan rentas sempadan, persinggahan ke Mulu dan TPZ yang menjadikan ia berbeza dengan peranan pelabuhan lain di negeri ini.

Pada masa yang sama, pelabuhan ini kelak dijangka mampu mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan, daripada golongan profesional, mahir dan separuh mahir.

Bagi bandar raya Miri pula, dengan adanya pelabuhan ini kelak ia akan membantu melengkapkan lagi visi menjadikannya sebuah bandar raya hijau dan meriah dengan aktiviti ekonomi di samping menjadi hab logistik yang berpotensi dengan kemudahan Zon Perdagangan Bebas (FCZ).

Sementara bagi Pelabuhan Miri yang ada sekarang, pembinaan dan usaha naik taraf ini akan merealisasikan hasrat untuk penjenamaan semula sebagai sebuah ‘distripark’ berpusat dan dengan kapasiti yang direka untuk menampung lebih 3.5 juta tan setahun, ia bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Miri.

Manakala bagi penggiat industri minyak dan gas, perkapalan dan minyak sawit pula, Pelabuhan Miri menganggarkan jumlah penjimatan kos sebanyak RM155 juta setahun melalui kapal secara terus ke pelabuhan (dengan mengetepikan kos perlu ditanggung akibat pengendalian berganda serta pemindahan melalui pelabuhan jiran) dan banyak lagi kemudahan lain.

Apabila dinaik taraf kelak, pelabuhan ini akan terletak di lokasi pinggir pelantar benua yang mempunyai kedalaman lebih 1,000 meter yang membolehkan semua jenis kapal besar dan kargo dari seluruh dunia memanfaatkan kemudahan yang ada di pelabuhan ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/18/mbm-berusaha-realisasi-impian-miri-memiliki-pelabuhan-terbaik/