MBM bantu kerajaan tangani masalah PATI

Oleh Clare Cinderella //

Sedia hotline bolehkan penduduk kemuka aduan berhubung PATI, pelbagai perkara

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyediakan talian hotline 013-8163755 untuk dihubungi atau menghantar mesej ke Whatsapp kepada Bahagian Perhubungan Awam bagi membolehkan penduduk tempatan mengemukakan aduan berhubung kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelbagai perkara di bawah bidang kuasa MBM.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai berkata orang ramai boleh menyertakan aduan mereka bersama gambar bagi mengukuhkan aduan mereka dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Lai memberitahu ini merupakan salah satu pendekatan diambil MBM melibatkan penyertaan penduduk peringkat akar umbi bagi memerangi isu PATI yang menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi pemimpin tertinggi negeri.

Lai juga mengajak seluruh warga Miri bersama-sama bangkit menyokong perjuangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memerangi isu PATI sebelum menjadi lebih parah dan sukar dibendung.

Beliau berkata MBM menyokong penuh usaha tersebut dengan turut serta melancarkan operasi penguatkuasaan lebih tegas memerangi kegiatan PATI di sini dan penempatan mereka.

Ini bukan sahaja mengenai isu warga asing Filipina (kaum Suluk) yang menjadi nelayan di sini dan bersaing dengan nelayan tempatan menjual hasil tangkapan mereka, tetapi merangkumi pendatang asing dari negara lain seperti Indonesia dan China.

Berbeza dengan pendatang kaum Suluk dari Filipina yang masuk ke sini menerusi Sabah dan kemudiannya menetap di sini serta menjadi nelayan dan melakukan pelbagai pekerjaan lain, pendatang asing Indonesia dan China masuk ke Miri menggunakan pas pelawat sebagai pelancong, katanya.

Apabila tiba di sini mereka bukan datang melancong tetapi berniaga dengan membawa bersama pelbagai barang dari negara mereka dan dijual di tepi-tepi jalan, dari rumah ke rumah, di kedai-kedai makan dan sebagainya. Ini menyalahi undang-undang kita.

Datang sebagai pelancong, jadilah seperti pelancong dan nikmati keindahan Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan cantik dan bukannya mengambil kesempatan terhadap kerancakan ekonomi kita di sini dengan berniaga dan mengaut keuntungan daripada rakyat tempatan. Mereka ini juga memberi tempias kepada perniagaan penduduk di sini, jelasnya.

Katanya, MBM sependapat dengan Adenan bahawa pendatang tanpa izin harus ditangani hingga ke akar umbi kerana bimbang, apa yang berlaku di Sabah sebelum ini (pencerobohan Lahad Datu) berulang di Miri, dengan kebanjiran PATI dari Filipina, ditambah lagi dari Indonesia dan China.

MBM turut mempertingkat dan menguatkan operasi penguatkuasaan membanteras PATI dan peniaga warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan mereka ke negeri ini.

Lai turut menggesa penduduk tempatan supaya memberi sokongan padu dan kerjasama kepada MBM dan Jabatan Imigresen dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan atau kewujudan PATI dan jangan melindungi serta bersubahat dengan PATI dengan menyediakan mereka tempat tinggal.

Sebagai contoh dalam kes serbuan baru-baru ini, penduduk tempatan membina rumah setinggan (satu kesalahan) dan kemudian menyewakan rumah tersebut kepada PATI (satu lagi kesalahan). Ini bermakna mereka bersubahat dengan PATI dan melindungi mereka.

Kerajaan melalui pelbagai agensi termasuk MBM memerangi perkara ini demi menjaga keamanan dan keselamatan rakyat tempatan agar kemakmuran dan peluang-peluang ekonomi yang sepatutnya dinikmati rakyat negeri ini tidak dirampas warga asing yang menyalah guna pas lawatan mereka, katanya.

Menurut Lai, paling dibimbangi ialah apabila PATI itu mulai berkembang dalam masyarakat dengan mengambil peluang mengahwini gadis atau lelaki tempatan dan seterusnya berkeluarga.

Maka keadaan menjadi semakin sukar kerana pelbagai isu dan masalah lain akan timbul, lebih-lebih lagi apabila rakyat tempatan menjadi mangsa.

Justeru, kepada warga Miri, penduduk tempatan khususnya agar bersama-sama dengan Ketua Menteri memerangi kegiatan PATI dan jangan benarkan mereka bertapak di negeri kita dan Miri terutamanya.

Jangan lindungi mereka, sebaliknya adukan segera kepada pihak berkaitan atau talian hotline kami, jelas beliau.

Pada Sabtu lalu di Kuching, Ketua Menteri turut mengisytiharkan perang ke atas PATI sekali gus bakal menyaksikan permulaan kepada usaha memerangi PATI yang dilihat semakin membimbangkan di negeri ini.

Menurut Adenan, tindakan tegas harus diambil bagi menangani masalah tersebut sebelum bertambah parah agar apa yang berlaku di Sabah tidak berulang di Sarawak terutama di Miri.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/24/mbm-bantu-kerajaan-tangani-masalah-pati/