Mayat mangsa serangan buaya ditemui terapung

DIJUMPAI: Anggota SAR mengangkat mayat mangsa serangan buaya untuk dibawa
ke Hospital Miri.

DIJUMPAI: Anggota SAR mengangkat mayat mangsa serangan buaya untuk dibawa ke Hospital Miri.

MIRI: Mayat seorang pekerja ladang disyaki diserang buaya ketika mandi di sebuah jeti di Sungai Nakat, Bakong petang Sabtu lalu dijumpai terapung pagi kelmarin pada jarak 100 meter dari tempat kejadian.

Ketika dijumpai sekitar jam 8.15 pagi (21 Ogos), mayat mangsa dikenali Chuat Andom masih dalam keadaan sempurna dengan kesan gigitan di bahagian kaki mangsa dipercayai kesan gigitan reptilia tersebut.

Difahamkan, mangsa yang berusia 19 tahun dan berasal Rumah Sigan, Hulu Niah baharu enam bulan bekerja di sebuah ladang berhampiran.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 1 petang pada 20 Ogos lalu, mangsa sedang mandi bersama seorang rakan di belakang sebuah kapal tunda di jeti milik Ladang Oriegrow Venture Sdn Bhd, tempat dia bekerja.

Ketika sedang mandi, rakan terbabit mendapati mangsa tiba-tiba hilang dan pada masa sama ternampak buih-buih air sahaja keluar dari dasar sungai.

Melihat kejadian itu, rakan mangsa mengesyaki mangsa diserang reptilia ganas, lalu segera memaklumkan penduduk berhampiran sambil meminta bantuan.

Serentak dengan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan melibatkan anggota Polis Marudi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi, pihak syarikat tempat mangsa bekerja dan ahli keluarga mangsa.

Pasukan SAR yang meneruskan pencarian pada 21 Ogos lalu menemui mayat mangsa terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dikatakan dia hilang sekitar jam 8.15 pagi.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tujuan bedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Baram DSP Gabriel Risut ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, ini adalah kejadian kali ketiga serangan buaya ganas di Beluru dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Sehubungan itu, polis mengadakan mesyuarat bersama pihak berwajib dalam masa terdekat bagi mengurangkan jumlah reptilia yang semakin banyak mengancam bukan sahaja nyawa manusia tetapi binatang peliharaan seperti lembu dan babi milik penduduk kampung.

Justeru, beliau menasihati orang ramai yang masih bergantung kepada air sungai untuk kegunaan harian supaya sentiasa berwaspada.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/23/mayat-mangsa-serangan-buaya-ditemui-terapung/

Poor guy. May his soul RIP