Maut kerana disyaki curi telefon bimbit

MIRI: Seorang lelaki maut selepas dibelasah sekumpulan individu kerana disyaki mencuri telefon bimbit, di sini, semalam.

Bagaimanapun, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, mangsa dibawa ke Balai Polis Miri oleh orang awam kira-kira jam 9.35 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang dibawa dalam keadaan berlumuran darah didapati sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Meng Seah berkata, tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 20-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/651913/maut-kerana-disyaki-curi-telefon-bimbit