Mati ditembak

TA02219

CEMAS: Keadaan di tempat kejadian selepas mangsa dan teman wanitanya ditembak di Sibu, malam kelmarin.

Pemilik pusat hiburan maut, teman wanita cedera ditembak di sebuah kedai kopi di Sibu.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang pemilik pusat hiburan maut manakala seorang wanita cedera dalam satu insiden tembak di sebuah kedai kopi di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.09 malam itu, mangsa bersama teman wanita warga China baharu sahaja bersantai makan di Jalan Long Bridge, Jalan Lanang di sini.

Mangsa dikenali Ting Meng Min, 30, tersungkur manakala teman wanitanya, Xiao Fen turut rebah ke lantai.

Menurut polis, kedua-dua mangsa bersama empat lagi rakan mereka baharu hendak beredar dari situ apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda muncul dari bahagian belakang kedai kopi.

Seorang lelaki keluar dari kenderaan dipercayai Toyota Hilux berwarna putih melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai mangsa dan wanita tersebut.

Terdapat kesan darah mangsa di lantai simen kedai kopi dan beberapa kelongsong peluru dijumpai di lokasi kejadian.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan bahu kiri dan beberapa kesan di belakang badan manakala teman wanitanya terkena tembakan di bahu kiri dan pergelangan tangan kiri.

Menurut polis, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke pusat perubatan manakala teman wanitanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

Bertindak daripada maklumat, pasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kordi ketika dihubungi berkata mangsa menjalankan perniagaan sebuah pusat hiburan di Miri.

Kata sumber, mangsa juga pernah memiliki sebuah pusat hiburan di sini tetapi tidak beroperasi lagi.

Difahamkan, terdapat tiga lelaki berada di dalam pacuan empat roda yang dinaiki suspek-suspek termasuk yang menembak mangsa.

Sumber juga menyatakan bahawa pengawal peribadi mangsa turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek-suspek ketika mereka memecut laju melarikan diri sejurus mangsa ditembak.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan adegan insiden itu diperolehi untuk membantu siasatan kes.

Menurut Mohd Kamal, butiran melibatkan hutang minuman bir sebanyak RM230 disiarkan di berita online semalam tidak tepat.

“Polis juga menyiasat kes tersebut daripada sudut kegiatan samseng,” katanya.

Sehingga berita ini ditulis tiga lelaki berumur dalam lingkungan 30-an ditahan di bandar ini pada jam 2.30 pagi semalam untuk membantu siasatan polis.

Mohd Kamal berkata, pihaknya menghubungi klinik-klinik dan pusat perubatan swasta untuk bekerjasama dengan polis agar memaklumkan kepada pihaknya dengan segera sekiranya terdapat individu-individu yang cedera akibat terkena tembakan dan meminta rawatan mereka.

Tambahnya, polis mengesahkan bahawa mangsa ditembak dengan senapang patah menggunakan peluru penabur.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/10/mati-ditembak/