Masjid baharu Bakam perlu geran RM4 juta

MIRI: Projek masjid baharu Bakam memerlukan sokongan geran berjumlah RM4 juta daripada kerajaan negeri untuk siap sepenuhnya.

Permohonan dana dikemuka kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Datuk Abang Openg semasa majlis perasmian Tilawah Al-Quran peringkat bahagian Miri di Dewan Kampung Bakam malam kelmarin.

Abang Johari berkata, beliau akan berunding dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mendapatkan geran membangunkan projek berkenaan.

“Saya akan cuba untuk mendapatkan RM4 juta. Dengan doa kita semua, kita akan dirikan masjid ini, “ jelas beliau.

Majlis perasmian pecah tanah projek telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Mac tahun lalu.

Sumbangan derma berjumlah RM535,000 berjaya dikumpul yang melibatkan derma RM250,000 dari Tun Taib dan RM100,000 dari Majlis Islam Sarawak.

Daripada jumlah itu juga, RM185,000 diterima bagi menampung kos pembinaan projek di tanah seluas 3.4 ekar terletak di hadapan masjid lama, Darul Khairat.

Majlis pelancaran wakaf dan pecah tanah bertujuan mempercepat pengumpulan dana pembinaan masjid.

Hadir sama pada majlis tilawah ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Masjid Baharu Bakam juga Setiausaha Politik Ketua Menteri,Julani Mokhtar, Penasihat juga Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/07/masjid-baharu-bakam-perlu-geran-rm4-juta/