Masing, ADUN Dayak alukan kritikan membina

SIMBOLIK: Masing ketika penyempurnaan  penutupan Bazar Gawai Dayak
Tahunan Kuching di Pusat Komersial MJC Batu Kawa di Kuching, malam kelmarin.

SIMBOLIK: Masing ketika penyempurnaan penutupan Bazar Gawai Dayak Tahunan Kuching di Pusat Komersial MJC Batu Kawa di Kuching, malam kelmarin.

ADUN Dayak baharu dinasihati tidak gentar dan takut dinasihati rakyat jika apa yang dilakukan mereka salah

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa Dayak mengalu-alukan kritikan yang membina supaya mereka dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Malah katanya, beliau menyedari hakikat bahawa bangsa Dayak sering mengkritik ADUN khususnya mereka yang baharu dilantik.

Justeru, untuk tujuan itu, beliau menasihati ADUN Dayak yang baharu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas untuk tidak gentar dan takut sekiranya dinasihati oleh rakyat sekiranya apa yang dilakukan mereka adalah salah.

“Kita seharusnya memperbaiki diri dengan mendengar apa sahaja yang dikatakan oleh rakyat kepada kita. Anda (rakyat) mungkin telah mengkritik YB (Yang Berhormat) ini.

“Tetapi sekiranya anda mengkritik kami, saya mohon kritikan tersebut adalah kritikan yang membina dan saya sendiri juga terbuka untuk diperbetulkan sekiranya saya telah melakukan kesilapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bazar Gawai Dayak Tahunan Kuching di Pusat Komersial MJC Batu Kawa di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) merangkap Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Aro Dagang dan ADUN Dayak baharu Wilson Nyabong, Christopher Gira dan Allan Siden Gramong.

Turut hadir Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) merangkap ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, memang sukar untuk menyatukan Dayak dalam politik berikutan kepentingan yang pelbagai.

Tetapi di sebalik hakikat itu, jelasnya komuniti Dayak menjadi rakyat majoriti di negeri ini malah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak turut diwujudkan.

“Tetapi fakta dan asas biasa ialah kita (Dayak) sudah cukup memadai dan mencukupi untuk bergerak bersama-sama sebagai sebuah kumpulan.

“Maka untuk itu, kita perlu bersama dan mencapai objektif utama kita untuk terus membawa komuniti kita ke arah pembangunan hidup yang lebih baik khususnya menerusi aktiviti ekonomi.

“Ini juga supaya kita dapat bersaing dan bekerjasama dengan masyarakat lain dalam memajukan negeri ini.

“Justeru saya menyeru kerajaan negeri ini untuk terus memandang kita dan memberi kita peluang untuk membangunkan diri kita,” katanya yang juga merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan keyakinan akan bersama dengan ADUN Dayak untuk terus menyumbang bagi memastikan penganjuran Bazar Gawai Dayak Kuching itu diadakan setiap tahun.

Menegaskan bahawa acara tahunan itu tidak akan menjadi yang pertama dan terakhir, beliau turut memuji penganjuran bazar itu yang membuka banyak peluang perniagaan kepada komuniti Dayak bagi menjana pendapatan tambahan.

“Sebelum ini, tidak ramai yang melihat perayaan Hari Gawai sebagai peluang perniagaan meskipun ia telah diadakan sejak bertahun-tahun yang lalu.

“Dengan adanya penganjuran bazar seumpama ini, kita (Dayak) berpeluang mencari pendapatan tambahan untuk diri kita sendiri dan pada masa sama meningkatkan profil festival ini,” jelasnya.

NGO Dayak yang dikenali sebagai Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) menjadi penganjur bagi Bazar Gawai Dayak Tahunan Kuching di Pusat Komersial MJC Batu Kawah bermula 30 April lalu.

GADS menjadi penggerak utama dalam menganjurkan Bazar Gawai Dayak yang pertama diadakan di Miri pada tahun lalu dan turut merencana untuk menganjur banyak lagi bazar di seluruh negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/24/masing-adun-dayak-alukan-kritikan-membina/