Manik Sarawak mampu tembusi pasaran antarabangsa

MIRI: Usahawan manik di Sarawak harus berubah dan berani memasarkan produk mereka menerusi Internet supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, pasaran manik tidak terhad dalam negara, sebaliknya perlu meneroka pasaran luar.

Beliau berkata, perubahan dalam pasaran semasa memerlukan kepintaran usahawan untuk memasarkan produk mereka.

“Namun, manik dipasarkan harus kreatif dan mampu memenuhi citarasa pelanggan yang semakin memilih,” katanya pada Majlis Penutupan Bengkel Loom Manik anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.

Dennis berkata, usahawan manik perlu merebut peluang perniagaan yang terbuka untuk diterokai melalui penggunaan internet.

Beliau berkata, ketika ini, golongan usahawan tidak sukar untuk mempromosi dan memasarkan produk kerana terdapat kemudahan telefon pintar dan media sosial sebagai platform pemasaran.

“Apa yang penting, usahawan harus memastikan produk mereka unik dan menarik. Justeru, kita perlu menggunakan kreativiti sepenuhnya,” katanya.

Beliau berharap peserta bengkel dapat menghasilkan kraf berasaskan manik yang dapat menembusi pasaran, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi mereka.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/11/627146/manik-sarawak-mampu-tembusi-pasaran-antarabangsa