Malaysia di tangga ke-20 catat kemalangan tertinggi melibatkan golongan muda

KUCHING: Malaysia terletak di tangga ke-20 di antara 165 negara di seluruh dunia yang mencatat jumlah kemalangan tertinggi melibatkan golongan muda berumur antara 15 hingga 29 tahun.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Shell Timur Sdn Bhd Qamar Wan Noor sewaktu menjalankan soal jawab bersama pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi di sini semalam.

“Bayangkan negara Malaysia mencatat 7,000 kemalangan setiap tahun bagi mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun bagi setiap tahun, jumlah ini boleh dikurangkan sekiranya kita semua menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan berhemah,” katanya pada Program Shell Road Safety Movement #SHELLSELAMATSAMPAI School Outreach di SMK Semerah Padi semalam.

Justeru, pihak Shell Malaysia telah menyasarkan SMK Batu Lintang, SMK Asyakirin, Bintulu dan SMK Dato Permaisuri, Miri untuk dijalankan program yang sama selepas SMK Semerah Padi.

Sebelum ini pihak Shell Malaysia juga telah merancang melibatkan 15 sekolah menengah terpilih di Sabah, Sarawak , Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya Ambrose Jarit memberitahu bahawa program tersebut selaras dengan anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu meningkatkan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas dalam pendidikan.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan bukan tanggungjawab polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Sebagai pengguna jalan raya yang berhemah, kita harus prihatin, peka dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya kerana sering kita dikejutkan dengan berita melibatkan pelajar yang berumur antara 15 hingga 29 tahun menjadi mangsa nahas kemalangan dan paling tinggi di Malaysia.

“Diharap program yang baharu diperkenalkan ini dapat memupuk generasi berhemah tinggi dan mematuhi peraturan jalan raya yang dilihat selari dengan visi kerajaan dalam mengurangkan indeks kemalangan jalan raya terutama sekali golongan muda,” tegasnya.

Kata beliau juga kecemerlangan bukan sahaja menekankan kepada penguasaan mata pelajaran di dalam kelas semata-mata, tetapi mampu menguasai kemahiran berfikir aras tinggi, mampu memimpin, beretika serta mempunyai identiti nasional yang akhirnya akan melahirkan modal insan yang holistik dan berpotensi dalam mengharungi cabaran abad ke-21.

Program tersebut yang turut dijalankan sejak Mac tahun ini adalah sempena sambutan Ulang Tahun Ke-125 Shell Malaysia.

Turut hadir Pengarah JKJR Sarawak Davina Agnes Entili, Pengetua SMK Semerah Padi Hadiah Amit, dan Pengurus Kanan dan Perhubungan Kerajaan Shell Malaysia Jonathon Jolly.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/30/malaysia-di-tangga-ke-20-catat-kemalangan-tertinggi-melibatkan-golongan-muda/