Mahkamah tetap 1 April sebutan kes dua warga asing tinggal lebih tempoh

MIRI: Mahkamah Sesyen menetapkan 1 April ini untuk sebutan lanjut dua lelaki warga asing dituduh tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintah supaya ditahan lanjut di lokap Balai Polis Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat memandangkan hakim Mahkamah Sesyen sepatutnya mendengar kes tersebut terlibat tugas rasmi lain.

Abu Bakar Husen, 32, dan Hasmin Ansar, 26, kedua-duanya dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasar pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh sebagai seseorang bukan warga negara Malaysia didapati masih tinggal di negeri ini selepas pas lawatan sosial dikeluarkan kepada mereka tamat tempoh sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam, 22 Mac lalu di tingkat 1 Batu Niah Food Court.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/31/mahkamah-tetap-1-april-sebutan-kes-dua-warga-asing-tinggal-lebih-tempoh/