Mahkamah tangguh ke 5 Disember kes pasangan kekasih miliki dadah

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menangguhkan sehingga 5 Disember depan untuk sebutan lanjut kes sepasang kekasih yang dituduh memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Sim Tze Yoong, 38, dari Siang Siang Garden, Jalan Armeria di sini dan Miss Nantaya Jokchaiphum, 24, dari Chaiphum, Thailand telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah dituduh memiliki dadah berbahaya jenis syabu dengan berat kasar 13.23 gram yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 21 Ogos tahun ini di Lot 6013 Siang Siang Garden di sini.

Selain itu, Sim dan Miss turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis Amphetamine ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka masing-masing pada jam 12.15 dan 12.20 tengah hari, 21 Ogos tahun ini di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan lanjut kes tersebut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/26/mahkamah-tangguh-ke-5-disember-kes-pasangan-kekasih-miliki-dadah/