Macau scam tumpas, 24 dalang ditahan

TUMPAS: Junaidi menunjuk pasport semua suspek yang dirampas dalam serbuan
tersebut.

TUMPAS: Junaidi menunjuk pasport semua suspek yang dirampas dalam serbuan tersebut.

MIRI: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri atas kejayaan menumpas sindiket Penipuan Macau (Macau Scam), malam kelmarin.

Ucapan itu dibuat oleh beliau menerusi akaun Twitter miliknya pagi semalam.

Dalam pada itu, 24 suspek ditahan berhubung sindiket penipuan terbabit terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan merupakan perancang utama serta 23 warga asing.

Manakala warga asing terbabit terdiri daripada 16 warganegara China, 12 daripadanya lelaki dan empat wanita serta tujuh rakyat Taiwan iaitu enam lelaki dan seorang wanita.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Junaidi Bujang, lima daripada warga asing terbabit merupakan penjaga manakala 18 yang lain adalah tahanan mereka yang dipaksa mencari pelanggan menerusi panggilan telefon.

“Semua suspek berusia lingkungan 20-an disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah terhadap mangsa serta Seksyen 420 Kanun sama kerana menipu,” katanya pada sidang media diadakan di sini semalam.

Dalam kejadian itu katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota BSJD Miri membuat serbuan ke sebuah kawasan perumahan elit di Jalan Pantai, Piasau.

Dalam serbuan dilakukan jam 5 petang itu, polis menahan 24 suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lima wanita kerana disyaki terlibat dalam sindiket Penipuan Macau.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/30/macau-scam-tumpas-24-dalang-ditahan/