Lorong, pondok kutipan tol Jambatan ASEAN dibuka untuk kenderaan Brunei

MIRI: Lorong dan pondok kutipan tol dibuka hanya untuk kenderaan negara Brunei Darussalam yang mengguna Jambatan ASEAN, Kuala Baram bermula hari ini (1 Jun).

Bermula hari ini, kenderaan Malaysia yang menggunakan jambatan itu tidak akan dikena sebarang bayaran.

Jambatan ASEAN antara jambatan tol di negeri ini yang dimansuh bayaran tol untuk penduduk tempatan.

Pemansuhan tol itu telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa sambutan Hari Bandaraya Miri Ke-10 pada 16 Mei lalu.

Sebelum ini pengguna dari kedua-dua belah negara harus membayar tol sebanyak RM10 setiap kali melalui jambatan berkenaan yang merupakan laluan masuk untuk ke Miri, Brunei dan Sabah.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin ketika lawatan ke Kuala Baram semalam berkata, pembukaan lorong berlainan bertujuan melicinkan perjalanan keluar masuk kenderaan kedua-dua negara.

Pemandu diingat agar memandu di lorong betul. Kakitangan yang bertugas akan memberi bantuan sekiranya perlu, jelas Lee yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin.

Sehubungan itu, penduduk di sekitar Kuala Baram, Lutong, Senadin dan Permyjaya diajak hadir memeriahkan majlis simbolik perasmian pemansuhan tol di jambatan berkenaan pada hari ini (1 Jun) bermula jam 8 pagi.

Majlis dijangka dihadiri Datuk Bandar Miri Lawrence Lai yang turut diadakan sebagai tanda terima kasih penduduk kepada Ketua Menteri.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Muhibbah, Kuala Baram yang menggunakan jambatan berkenaan telah menerima bayaran balik kad pengguna daripada pihak pengurusan semalam.

Sebelum ini, penduduk kampung itu termasuk dari beberapa kampung berdekatan perlu menjelaskan bayaran RM10 untuk kad tersebut agar dapat melalui jambatan itu secara percuma pada setiap hari.


Source: http://www.theborneopost.com/?p=496402