Litar pintas penyaman udara dipercayai punca kebakaran blok kedai di Miri

MIRI: Litar pintas sistem penyaman udara dipercayai punca kebakaran tingkat dua enam blok kedai berusia 40 tahun yang mengorbankan seorang wanita kelmarin.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kong berkata, hasil siasatan awal dijalankan kebakaran bermula di salah sebuah bilik sewa di tingkat dua.

Law berkata, terdapat lapan bilik yang disewa di tingkat terbabit dengan semuanya berpenghuni dan pagar ditingkat dua itu dikunci.

Beliau berkata ini mengakibatkan mangsa sukar untuk mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri kerana pintu pagar ditingkat dua dikunci lalu memilih alternatif untuk terjun ke bawah kerana pada masa sama api cepat merebak.

“Jumlah harta yang berjaya diselamatkan ialah RM1.2 juta untuk harta yang berada di tingkat bawah dan satu,” katanya di sini semalam sambil menambah siasatan lebih terperinci masih dijalankan.

Law berkata, jumlah kerugian harta dianggarkan berjumlah RM600,000 untuk tingkat dua bangunan itu.

Beliau juga menafikan dakwaan orang awam yang membuat tuduhan mangsa yang terbunuh kerana terjun dari tingkat dua itu sebab bomba lewat bertindak.

Beliau berkata, mangsa terjun sebelum ketibaan pasukan bomba akibat daripada api merebak terlalu cepat pada ketika itu.

Dalam kejadian jam 6.50 petang kelmarin, seorang wanita Huong Siew Fong,21, terbunuh kerana mengalami kecederaan serius di kepala setelah terjun dari tingkat dua semasa kejadian berlaku.

Rakaman orang awam saat-saat akhir mangsa terjun dari tingkat dua lalu terbunuh menjadi tular dalam media sosial malam kelmarin sehingga semalam. — Bernama

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/07/litar-pintas-penyaman-udara-dipercayai-punca-kebakaran-blok-kedai-di-miri/