Lemah, tangan terikat

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

TAHAN:
Suspek (dua kanan) ketika dibawa untuk ditahan oleh pihak polis Miri.

TAHAN: Suspek (dua kanan) ketika dibawa untuk ditahan oleh pihak polis Miri.

USUNG:
Derrona (baring) ketika diusung ke dalam ambulans dan dikejarkan ke Hospital
Miri.

USUNG: Derrona (baring) ketika diusung ke dalam ambulans dan dikejarkan ke Hospital Miri.

MIRI: Selepas 48 jam hilang, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Miri, Derrona Joylyn Joseph,11, berjaya ditemui dalam keadaan lemah, tangan terikat dan masih berpakaian sekolah di pinggir hutan di Pujut Tanjung Batu dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Junaidi Bujang, sepasukan anggota polis IPD Miri berjaya mengesan kedudukan mangsa sebelum menahan suspek juga abang ipar mangsa, Julian Sabong, 36, yang berpakaian baju-T merah dan berseluar hitam.

Junaidi yang mengesahkan kejayaan operasi itu menjelaskan, suspek ditangkap jam 3.30 petang semalam tidak jauh dari lokasi Derrona ditemui.

“Lokasi penemuan juga tidak jauh dari kawasan kereta Perodua Viva ditinggalkan sebelum polis meluaskan pencarian sehingga dijumpai hari ini (semalam),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Jelasnya, kedua-dua tangan mangsa diikat dengan tali plastik dan terdapat bekas makanan serta air di tempat suspek menyembunyikan mangsa.

“Motif suspek melarikan mangsa masih lagi dalam siasatan dan mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Derrona anak bongsu daripada empat adik-beradik dilapor hilang Selasa lalu dikatakan mengikut seorang lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih yang menjemputnya selepas tamat waktu sekolah jam 12.30 tengah hari.

Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas jenayah penculikan setelah mengenal pasti individu terlibat adalah suami kepada kakak mangsa dan gagal ditemui selepas 24 jam tempoh kehilangan.

Polis Miri telah menjalankan gerakan mencari besar-besaran sehingga berjaya menemui kenderaan yang didaftar atas nama kakak mangsa ditinggal di tepi jalan di Jalan Miri-Bypass.

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung secara sulit dan salah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/18/lemah-tangan-terikat/