Lelaki ugut ibu direman tiga hari

Suspek juga dipercayai terlibat dengan pengambilan dadah jenis syabu

// Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya diperintahkan Mahkamah Majistret di sini supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut.

Suspek, 46, dari Bandar Baru Permyjaya di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat, seorang wanita merupakan pesara polis membuat laporan di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, mangsa, 65, mendakwa dua minggu lalu (tarikh tidak pasti) bertempat di kediamannya, anak lelakinya mengamuk dan meminta wang namun mangsa enggan memberikannya.

Setelah permintaannya tidak diendahkan, suspek kemudian mengugut mahu membunuh mangsa.

Mangsa mendakwa kejadian seperti ini sering berlaku menyebabkan beliau ketakutan dan bimbang dicederakan suspek.

Bertindak atas maklumat sekitar jam 2.15 petang, pada 4 Disember lalu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri diketuai Inspektor Mohd Said Ambotang menahan suspek kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat dengan pengambilan dadah jenis syabu.

Tempoh reman ke atas suspek tamat pada 9 Disember ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/07/lelaki-ugut-ibu-direman-tiga-hari/