Lelaki mengaku tidak bersalah mencederakan bapa kandung

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam terhadap tuduhan dengan sengaja mencederakan bapa kandungnya.

Hashim Junaidi, 24, dari Kampung Luak di sini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas bapanya, Junaidi Othman, 55, dengan mencederakan bahagian rahang kiri muka mangsa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.20 malam, pada 3 November lalu di rumah keluarga mereka, Kampung Luak di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh mahkamah kemudian menetapkan 25 Januari ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/13/lelaki-mengaku-tidak-bersalah-mencederakan-bapa-kandung/