Lelaki mengaku tidak bersalah curi kereta

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap tuduhan dengan curang menyimpan sebuah kereta curi.

Gleneker Julin, 25, dari Pujut 4B di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta jenis Proton Waja warna perak dengan nombor pendaftararan QMF27xx kepunyaan Voon King Sing.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 3.10 petang, 31 Disember 2014 di sebuah premis di Eastwood Valley Industrial Park, Jalan Miri By-pass di sini.

Pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu perbicaraan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 Mei depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/13/lelaki-mengaku-tidak-bersalah-curi-kereta/