Lelaki Indonesia mengaku salah masuk secara haram

MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Rusli Aditya, 23, dari Woro Nusantara Barat, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 4.06 pagi, 21 September lalu di sebuah rumah pekerja di Kuala Baram untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang bukan merupakan warga negara Malaysia telah masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Berikutan itu, dia telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki didenda RM500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan dengan sengaja mencederakan seorang lelaki lain.

Peter Anyi Wan, 31, dari Batu Niah didapati dengan sengaja telah mencederakan Matthew Lah Wan, 21.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 24 September lalu di Rumah Julia Gamang, Batu Niah, Niah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/07/lelaki-indonesia-mengaku-salah-masuk-secara-haram/