Lelaki Indonesia dipercayai bunuh diri tikam rusuk kiri

Pisau pemotong sayur masih tergenggam erat di tangan

// Oleh Rosemaria Buma //

PERIKSA: ASP Soliment (dua kiri) dan anggota sedang memeriksa mayat
mangsa di tempat kejadian.

PERIKSA: ASP Soliment (dua kiri) dan anggota sedang memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.

MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai membunuh diri dengan menikam rusuk kirinya menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di sebuah khemah pekerja di kawasan Sungai Rait, Bakam di sini pagi semalam.

Ketika ditemui, mangsa dikenali sebagai Apris Boimau, 34, hanya memakai seluar pendek berwarna gelap dan terbaring serta berlumuran darah di dalam khemah tersebut yang sudah tidak berbumbung.

Manakala sebilah pisau pemotong sayur masih tergenggam erat di tangan kanannya.

Kejadian itu hanya diketahui oleh tiga rakan mangsa pergi ke kawasan khemah berkenaan sekitar jam 6 pagi untuk mencari mangsa.

Difahamkan, pada malam kelmarin, mangsa dan beberapa orang rakan telah keluar makan bersama.

Selesai makan, mangsa memberitahu rakan-rakannya bahawa dia hendak pulang ke rumah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, sehingga pagi semalam, mangsa tidak pulang ke rumah dan keadaan itu menimbulkan kerisauan di kalangan rakan, justeru mereka keluar mencarinya ke khemah berkenaan.

Khemah tempat mayat mangsa dijumpai meru-pakan salah sebuah kem pekerja milik sebuah syarikat pembalakan tempat mereka bekerja dahulu dan terletak kira-kira satu kilometer dari khemah tempat mereka tinggal sekarang.

Berikutan itu, tiga rakan terbabit terus pergi ke Balai Polis Tanjung Lobang untuk memaklumkan tentang penemuan mayat mangsa.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasa-tan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai ASP Soliment Nyian telah bergegas ke lokasi penemuan mayat terbabit.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan luka akibat tikaman di bahagian rusuk kiri mangsa.

Selain itu, polis turut menjumpai telefon bimbit, sebuah beg sandang mengandungi dompet yang berisi wang serta pasport milik mangsa dalam keadaan tidak diusik.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui memandangkan keadan mayatnya yang telah keras dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/15/lelaki-indonesia-dipercayai-bunuh-diri-tikam-rusuk-kiri/