SUSPEK CABUL
MIRI: Polis berjaya menangkap seorang lelaki warga asing disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar raya di sini, petang kelmarin.
Suspek yang berusia 26 tahun dan berasal dari Indonesia kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan satu laporan polis dibuat bapa mangsa di Balai Polis Lutong.
Dalam aduannya, bapa mangsa, 42, juga seorang warganegara Indonesia mendakwa telah diberitahu seorang pekerja pasar raya terbabit ternampak seorang lelaki dipercayai warganegara Indonesia membawa anaknya (mangsa) ke tingkat atas di bahagian menempatkan peralatan dapur.
“Lelaki terbabit dilihat menggosok kemaluannya di belakang badan kanak-kanak perempuan itu sepanjang masa menuju ke kawasan kurang pelanggan.
“Suspek turut membuka zip seluar kanak-kanak itu dan memasukkan tangan ke dalam seluar dalam mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, kata Khoo, orang awam melihat kejadian itu menghampiri suspek dan terus memukulnya sebelum dibawa ke pejabat pengawal keselamatan di pasar raya tersebut.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 5.56 petang hari kejadian, polis menangkap semula suspek diserahkan orang awam dalam keadaan cedera kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
“Suspek ditahan kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan dia masuk ke negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu kata Khoo, suspek telah ditangkap mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabut dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk ke negeri ini secara haram.
Source: http://miri.my/2016/12/16/lelaki-disyaki-cuba-cabul-budak-kena-belasah-orang-awam/