Lelaki dipercayai kendali FB ‘Sarawak keluar Malaysia 2021’ ditahan polis

KUCHING: Seorang lelaki berusia 48 tahun diberkas polis di Sibu semalam susulan beberapa aduan diterima berhubung laman Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ yang dipercayai dikendalikannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata, lelaki itu ditangkap pada kira-kira jam 2.40 petang apabila setakat jam 3 petang semalam 13 aduan diterima polis.

“Laman (FB) itu disiasat atas kesalahan termaktub di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tidak ada maklumat lain berhubung tangkapan dan siasatan boleh didedahkan pada masa ini,” katanya menerusi kenyataan kepada media semalam.

Tujuh aduan diterima di Kuching, tiga di Miri dan masing-masing satu di Serian, Padawan dan Mukah setakat jam 3 petang.

Pejabat Ketua Menteri menerusi kenyataan media pada Isnin lepas menafikan viral terkini dalam talian mengatakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengancam Sarawak akan keluar Malaysia.

Viral itu yang memaparkan gambar Adenan antara lain menyebut: “Kalau Otonomi Sarawak tidak dikembalikan maka kita tiada pilihan lain selain daripada keluar drpd gabungan Malaysia.”

Kenyataan itu memberitahu ‘posting’ asal viral itu datang daripada laman ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021.’

“Ketua Menteri telah banyak kali menegaskan Sarawak tidak pernah berniat mahu keluar Malaysia tetapi ia tidak bermakna negeri ini tidak boleh memperjuangkan hak-haknya seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Pengesyoran dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold,” tegas kenyataan itu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/09/lelaki-dipercayai-kendali-fb-sarawak-keluar-malaysia-2021-ditahan-polis/