MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan penghantaran pulang ke negara asalnya sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah Doyok Salem dari Singkawang, Indonesia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 10.16 malam, 23 November lalu di sebuah lot di Jalan Acacia 2 MDL Garden di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh bukan warganegara Malaysia telah masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Berikutan itu, dia telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.
Source: http://miri.my/2016/12/02/lelaki-dipenjara-12-bulan-enam-sebatan-atas-kesalahan-imigresen/