Lelaki didenda RM5,000, lima bulan penjara miliki dadah

MIRI: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Hukuman dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Nasir Ramli, 28, dari Vista Perdana di sini didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram (berat bersih).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.10 malam, pada 8 April 2013 di rumahnya di Vista Perdana di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/18/lelaki-didenda-rm5000-lima-bulan-penjara-miliki-dadah/