Lelaki didakwa atas kesalahan mengugut wanita

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbang beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Julius Anding, 30, dari Bandar Baharu Permyjaya didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah terhadap Imbau Mangge dengan memaksa mangsa membuka pintu rumah sambil memaki hamun dari luar dan bertindak memukul pintu menggunakan sebilah pisau dengan niat menakutkan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 4 petang, pada 15 Jun lalu di sebuah rumah di Bandar Baharu Permyjaya di sini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/05/lelaki-didakwa-atas-kesalahan-mengugut-wanita/